SEREMBAN 16 Feb 2011. – Mahasiswa akan dibawa kembali dalam program ‘mengenang budi’ supaya kehidupan di kampus tidak melalaikan mereka sehingga lupa terhadap asal usul dan kepayahan ibu bapa membesarkan mereka.
Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS), Wan Mohd. Fazamy Azwandy Mohd. Razali berkata, ramai di kalangan mahasiswa mengalami kejutan budaya apabila berada di kampus dan terlalai dengan keseronokan ‘di tempat baru’.
”Sebab itulah kita kembalikan mereka kepada satu kehidupan lampau, yang mana program bersama masyarakat kampung akan dikembangkan supaya kesedaran akan timbul untuk mereka kembali berbakti selepas berjaya kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, dia berasa kecewa dengan wujudnya golongan yang telah dididik oleh MBNS dan memegang jawatan tinggi tetapi tidak mahu kembali membantu mereka mendidik anak bangsa untuk berjaya.
”Ini kerana, apabila mereka belajar di pusat pengajian tinggi, wujud sikap tidak ambil peduli atau terleka dengan suasana baru, malahan ada yang tidak menjenguk ke kampung selepas berjaya,” katanya.
Keadaan ini, tambah Wan Mohd. Fazamy Azwandy, terdapat juga mahasiswa yang melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan dan adalah malang di kalangan mereka telah terjebak dan memilih pekerjaan yang salah.
”Ini akan memberikan persepsi negatif terhadap kehidupan mahasiswa, apatah lagi mereka yang terlibat dengan masalah sosial dan kehidupan yang tidak direstui keluarga,” ujarnya.
Justeru katanya, MBNS akan sentiasa menjalankan program jati diri, kepimpinan, latihan kaunseling dan khidmat masyarakat membabitkan mahasiswa bersama rakyat dan generasi muda.