PUTRAJAYA, 25 Mei 2013 – Pertandingan Battle of The Band Felda sempena Festival Muzik Urban .com memasuki peringkat akhir selepas lima daripada 11 kumpulan dipilih untuk berentap di pentas akhir esok.
Lima band tersebut ialah Finders dari Felda Mendi, Bera Pahang; Wasiat (Felda Ulu Jempol, Jengka); Triloggy (Felda Bersia, Perak); Rastali (Felda Bukit Sengeh, Jasin Melaka) dan Mayang Sari dari Felda Raja Alias 1, Negeri Sembilan.
Pertandingan itu dirasmikan oleh Presiden Belia Felda Malaysia, Anuar Manaf.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Nasir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Karya Outdoor Sdn. Bhd, Mohd. Yazid Ahmad.
Festival Muzik Urban .com merupakan sebahagian acara Fiesta 75 Tahun Utusan yang berlangsung di Laman 1Malaysia Presint 2 di sini serantak dengan penganjuran Festival Belia Malaysia 2013.
Selain Battle of The Band Felda, Festival Muzik Urban .com turut dimeriahkan persembahan 75 kumpulan muzik indie sepanjang tiga hari festival itu berlangsung bermula semalam.
Kemuncak acara esok menyaksikan persembahan artis terkenal seperti kumpulan Soul Journey yang membariskan Ramli Sarip, Man Kidal, Tom dan Andy Flop Poppy serta band-band lain seperti Salammusik, Pesawat, Monoloque, Caprice, Couple dan banyak lagi band indie berbakat. – UTUSAN ONLINE