MAJLIS BELIA MALAYSIA

Let’s Talk ASEAN Episod 2: Pemimpin Belia ASEAN Bincang Masa Depan Serantau

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 – Episod kedua podcast Let’s Talk ASEAN bertajuk “REAL TALK bersama Pemimpin Belia Masa Depan ASEAN” telah disiarkan secara langsung semalam, menampilkan sesi perbincangan bersama pemimpin-pemimpin muda dari Asia Tenggara. Dipandu oleh Debbie, wakil belia Malaysia, perbincangan ini memberi fokus kepada isu-isu utama seperti kepimpinan belia, keterangkuman serantau dan visi masa depan ASEAN.

Antara panelis yang terlibat ialah Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), yang menegaskan pentingnya belia diberi ruang dan peranan yang lebih besar dalam proses pembangunan serantau. Beliau turut mengajak semua pihak untuk mengiktiraf belia sebagai agen perubahan yang berupaya menyumbang secara langsung dalam rumusan dasar dan tindakan yang berimpak tinggi.

Turut serta sebagai panel ialah Michelle Villanueva dari Filipina dan Korarith Chuaysakul dari Thailand. Michelle menekankan keperluan penglibatan belia dalam penggubalan dasar yang melibatkan pendidikan, pekerjaan dan keterangkuman sosial, manakala Korarith menyeru agar kerjasama rentas negara dalam kalangan belia diperkukuh bagi mempererat pemahaman budaya dan membina jaringan ASEAN yang lebih mantap.

Program ini merupakan hasil kerjasama antara MBM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Committee for ASEAN Youth Cooperation (CYC) melalui kempen #LetsTalkASEAN, seiring dengan aspirasi #MalaysiaMADANI untuk memperkasa suara belia dan meningkatkan penyertaan mereka dalam pembangunan masa depan ASEAN yang inklusif dan mampan.

Tonton di youtube : https://www.youtube.com/live/s-6Uvk7ZveY?feature=shared

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »