KLIA SEPANG 2 November – Kumpulan Legasi Seni dijulang sebagai juara Festival Tarian Tradisional Malaysia (Zapin) 2019 yang menutup tirainya hari ini.
Mempertaruhkan tarian berjudul Ngadu, Legasi Seni mengangkat konsep zapin bertemakan tradisi perkahwinan masyarakat di Tawau, Sabah berjaya memikat hati juri.
Kemenangan itu sekali gus menumpaskan tujuh kumpulan lain, Sanggar Budaya, Akar Seni, D’Waris, Budak Capal Studio, Nyala Dance dan Dansa Fusion.
Tempat kedua dimenangi kumpulan Akar Seni Malaysia manakala Dansa Fusian pula menyandang hadiah tempat ketiga.
Juara membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta sijil manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing memenangi RM3,000 dan RM1,000.
Legasi Seni turut memenangi kategori Koreografi Terbaik sementara Busana dan TatariasTerbaik pula dimenangi oleh Dansa Fusion.
Selain itu, turut dipertandingkan satu kategori baharu iaitu Instagram Pilihan yang dimenangi oleh Legasi Seni dengan mendapat like sebanyak 5,777.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.
Kamarudin berkata, Kerajaan amat menghargai usaha Malaysia Airports dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan festival ini sebagai sebahagian usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Tarian ini juga dapat membina sahsiah dan jati diri belia Malaysia dalam memartabatkan seni budaya bangsa”, ujarnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Presiden MBM, Jufitri Joha.
Penganjuran festival ini merupakan kolaborasi Malaysia Airports dan MBM buat kali ketiga sejak 2017 malah telah dijadikan acara tahunan di KLIA.
Berikut merupakan senarai penuh pemenang Festival Tarian Tradisional Malaysia (Zapin) 2019:
Juara: Legasi Seni
Naib Juara: Akar Seni Malaysia
Tempat Ketiga: Dansa Fusion
Persembahan Terbaik: Sanggar Budaya Sri Pengkalan
Koreografer Terbaik: Legasi Seni
Busana dan Tatarias Terbaik: Dansa Fusion
Instagram Pilihan: Legasi Seni