KUMPULAN tari Legasi Seni dijulang sebagai johan Festival Tarian Tradisional Kreasi Joget dan Zapin Terbuka Belia Malaysia Madani @KLIA 2024 yang berlangsung di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Mempertaruhkan tarian sapu tangan, Legasi Seni mengangkat konsep joget dan zapin bertemakan tradisi perahu tambang masyarakat di Sarawak berjaya memikat hati juri.
Ini merupakan kemenangan kali kedua Legasi Seni setelah muncul juara pertandingan sama pada edisi 2019 sekali gus menumpaskan 10 kumpulan lain yang bertanding dalam festival berprestij ini.
Tempat kedua dimenangi kumpulan Dansa Fusion manakala Art Talent Corporation pula menyandang tempat ketiga.
Juara membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta sijil manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing memenangi RM3,000 dan RM1,000.
Legasi Seni turut memenangi kategori Koreografi Terbaik sementara Persembahan dan Busana Terbaik pula menjadi milik Dansa Fusion.
Para peserta Festival Tarian Tradisional Kreasi Joget dan Zapin Terbuka Belia Malaysia Madani @ KLIA
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr. Christina Yeo Ken Yin, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Beliau berkata, penganjuran Festival Tarian Tradisional Kreasi Joget dan Zapin Terbuka Belia Malaysia Madani @ KLIA 2024 dapat memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi nilai tambah dan impak positif kepada masyarakat dalam kesiagaan kita ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Beliau hadir mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing ke anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tersebut.
“VM2026 telah diumumkan oleh kerajaan untuk mempergiat aktiviti mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan yang unggul dan bertaraf dunia.
“Pada masa yang sama, Malaysia akan terus mengekalkan semangat jati diri bangsa melalui aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan pengembangan seni, budaya dan warisan negara,” kata beliau.
Christina berkata, sempena VM2026, kerajaan menyasarkan sebanyak 35.6 juta pelancong luar negara dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion.
Festival Tarian Tradisional Kreasi yang kini memasuki edisi keempat itu menggalakkan lagi promosi pelancongan dan seni budaya melalui KLIA yang amat penting sebagai Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
“Selain itu, seni tari ini juga dapat membina sahsiah dan jati diri belia Malaysia dalam memartabatkan seni budaya bangsa”, ujarnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Pengerusi MAB, Tan Sri Zainun Ali; Pemangku Ketua Eksekutif Kumpulan MAB, Mohamed Rastam Shahrom dan Naib Pengerusi MBM, Khairul Azman Azeez.
Festival ini dilaksanakan dalam format pertandingan seni budaya seni tari tradisional oleh belia Malaysia yang telah disenarai pendek oleh MBM bagi memberi peluang kepada golongan belia untuk mempersembahkan bakat seni tari mereka.
Ia menampilkan 10 pasukan terdiri daripada lapan hingga 10 peserta bertanding merebut hadiah-hadiah yang telah disediakan. – Edisi 9
Artikel penuh :