SEPANG 13 Januari – Kumpulan Legasi Seni dijulang sebagai johan Festival Tarian Tradisional Kreasi Joget dan Zapin Terbuka Belia Malaysia Madani @KLIA 2024 yang berlangsung di Terminal 1, KLIA hari ini.
Mempertaruhkan tarian sapu tangan, Legasi Seni mengangkat konsep joget dan zapin bertemakan tradisi perahu tambang masyarakat di Sarawak berjaya memikat hati juri.
Ini merupakan kemenangan kali kedua Legasi Seni setelah muncul juara pertandingan sama pada edisi 2019 sekali gus menumpaskan 10 kumpulan lain yang bertanding dalam festival berprestij ini.
Tempat kedua dimenangi kumpulan Dansa Fusion manakala Art Talent Corporation pula menyandang tempat ketiga.
Juara membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta sijil manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing memenangi RM3,000 dan RM1,000.
Legasi Seni turut memenangi kategori Koreografi Terbaik sementara Persembahan dan Busana Terbaik pula dimenangi oleh Dansa Fusion.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr. Christina Yeo Ken Yin, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Dr. Christina berkata, kementerian amat menghargai usaha Malaysia Airports dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan festival ini sebagai sebahagian usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong luar memandangkan KLIA merupakan pintu masuk utama negara.
“Selain itu, seni tari ini juga dapat membina sahsiah dan jati diri belia Malaysia dalam memartabatkan seni budaya bangsa”, ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot; Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Datuk Zainun Ali; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Encik Mohamed Rastam Shahrom dan Naib Presiden MBM, Sdr. Khairul Azman Azeez.
Turut hadir Naib Presiden MBM, Datuk Syed Osman Mohamed; Sdr. Tarmizi Karnain; Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun; Exco MBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Hidup Sihat, Sdr. Shawaludin Malik; Sdr. Mohd Ismail Mahyuddin; Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi; Ahli Dewan Tertinggi MBM, Sdr. Mohd Faiz Holiday serta pegawai-pegawai Malaysia Airports.
Penganjuran festival ini merupakan kolaborasi Malaysia Airports dan MBM buat kali ke-4 sejak 2017 setelah terhenti akibat pandemik.
Dilaksanakan dalam format pertandingan seni tari oleh belia Malaysia yang telah disenarai pendek, pentas ini memberi peluang kepada golongan belia mempersembahkan bakat seni tari mereka.
Senarai penuh pemenang Festival Tarian Tradisional Kreasi Joget dan Zapin Terbuka Belia Malaysia Madani @KLIA 2024 :
Juara: Legasi Seni
Naib Juara: Dansa Fusion
Tempat Ketiga: Art Talent Corporation
Persembahan Terbaik: Dansa Fusion
Koreografer Terbaik: Legasi Seni
Busana dan Tatarias Terbaik: Dansa Fusion
Tempat ke-4: Rentak Seni
Tempat ke-5: Akar Seni Malaysia
Tempat ke-6: Sesumpah
Tempat ke-7: D’Waris Dance
Tempat ke-8: Limar Tari
Tempat ke-9: Tari Lana
Tempat ke-10: Akasia
Pemenang tempat ke-4 hingga ke-10 menerima hadiah saguhati RM500.00
Tahniah kepada pemenang-pemenang dan terima kasih kepada Malaysia Airports atas kepercayaan serta semua yang menjayakan program ini.