Bukit Jalil, 15 Okt – Lebih 20,000 peserta menjayakan Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2017 di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Acara bermula seawal jam 8.00 pagi itu disertai pelbagai lapisan masyarakat melalui acara larian, kayuhan basikal, bola jaring, futsal, senamrobik dan pelbagai acara lain.
YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak yang hadir melancarkan sambutan Hari Sukan Negara 2017, berkata “Hari Sukan Negara adalah simbolik kepada pembudayaan sukan, kita mahu setiap rakyat bersukan pada setiap masa bukan hari tertentu di samping wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional”.
Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin, Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal turut hadir mengiringi YAB Perdana Menteri bersama atlet negara dan para peserta pada majlis tersebut.
MBM turut terlibat menjayakan sambutan ini dengan membuka kaunter pendaftaran peserta dalam kalangan Exco, DT, badan gabungan dan sukarelawan bagi memeriahkan sambutan ini.
Pihak penganjur menampilkan kelainan pada sambutan kali ini yang berlangsung serentak di seluruh negara dengan penglibatan atlet-atlet negara yang mengharumkan nama Malaysia di KL2017 lalu.
Selain itu, kemudahan di bawah KBS juga dibuka secara percuma kepada orang awam.
Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu kedua setiap Oktober bermula 2015 dengan tujuan menggalakkan rakyat Malaysia sentiasa bersukan hingga menjadi budaya hidup.