MAJLIS BELIA MALAYSIA

Lawatan Kerja MBM ke Ningxia Pererat Hubungan Dua Hala Belia Malaysia & China

NINGXIA 23 Jun – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) telah mengadakan Lawatan Kerja ke Ningxia, China selama enam hari sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala serta memperluaskan jaringan kerjasama belia di peringkat antarabangsa.

Lebih istimewa edisi ketiga ini turut disertai Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan.

Delegasi Malaysia diketuai Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid bersama 30 orang peserta terdiri daripada kepimpinan badan-badan gabungan MBM dan pegawai JBSN.

Lawatan ini turut menekankan perkongsian idea, pembangunan kapasiti belia serta pertukaran amalan terbaik antara Malaysia dan China melalui pelbagai sesi libat urus strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kerjasama strategik antara institusi belia Malaysia dan pihak berkuasa di Ningxia.

Kehadiran kepimpinan tertinggi ini telah menambah nilai kepada perbincangan serta memperkukuh komitmen Malaysia dalam memperkasa agenda pembangunan belia di peringkat antarabangsa.

Antara pengisian utama program ialah sesi seminar bersama Ningxia Foreign Affairs Office yang menjadi platform perbincangan dua hala antara delegasi MBM dan pihak Ningxia. Sesi ini membuka ruang kepada perkongsian pandangan serta memperkukuh hubungan kerjasama dalam aspek pembangunan belia, ekonomi dan sosial.

Delegasi Malaysia turut mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi penting termasuk Changcheng Huayan Residential Community, 3D Printing Intelligent Foundry of Kocel Equipment Co., Ltd, Mining Pavilion for East-West Paired Assistance, Hemei E-Commerce Workshop serta Ningxia Tengger Desert New Energy Base. Lawatan turut merangkumi destinasi berasaskan budaya dan warisan seperti Shapotou National Nature Reserve, Ningxia Yili Dairy Company, Liu San Duo Babaocha, Beryl Yanhongzishu Goji Estate, Rock Art in the Helan Mountains, Xixia Imperial Tombs National Archaeological Site Park dan Ningxia Museum.

Lawatan ini diharap dapat memperkukuh hubungan diplomatik belia Malaysia – China serta membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik dalam bidang inovasi, ekonomi digital, kelestarian tenaga dan pemeliharaan budaya pada masa akan datang.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »