Ulu Bernam, 21 Oktober 2012 – Kesukarelaan adalah satu aktiviti yang murni dalam setiap masyarakat di seluruh dunia. Ia melepasi sempadan budaya, agama, masyarakat dan boleh dijadikan sebagai suatu kerja ibadah di dalam hidup. Kesukarelaan dapat menukar paradigma berfikir seseorang daripada meminta-minta kepada memberi. Allah SWT telah memberi petunjuk bahawa nikmatNya kepada makhluk terlalu banyak dan tidak meminta apa yang telah diberikanNya melainkan bersyukur. Aktivis sukarela adalah seorang yang ketagih dengan memberi dan ia merasai kedamaian serta kebahagiaan yang tidak diperolehi daripada kerja-kerja yang lain.
Bagi melahirkan aktivis sukarela yang mempunyai kemahiran dalam kerja-kerja kesukarelaan, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah mengadakan Kursus Transformasi Sukarelawan Peringkat Zon Tengah pada 19 – 21 Oktober 2012 bertempat di Warisan Bernam Heritage Agro & Country Resort, Sg.Gading, Hulu Bernam, Hulu Selangor, Selangor. Ia merupakan siri kedua kursus yang telah diadakan oleh MBM selepas siri pertama Peringkat Zon Utara yang telah diadakan di Sik, Kedah.
Seramai 70 orang sukarelawan dari negeri Perak, Selangor dan Kuala Lumpur telah menyertai kursus selama 3 hari ini. Kursus yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan MBM, Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri yang juga merangkap Ketua Penyelaras Kursus turut melibatkan Pengerusi MBN Perak , Sdr. Khairul Anwar El Syazalli Musa, Presiden MB Wilayah Persekutuan, Puan Ida Harlina Ikhwan Nasir dan Timbalan Presiden MBN Selangor, Sdr. Badrul Hisham Badrudin di dalam slot “Menjulang Erti Kesukarelaan” manakala acara penutup telah dirasmikan oleh Presiden MB Wilayah Persekutuan, Puan Ida Harlina Ikhwan Nasir yang juga turut menyampaikan sijil kepada semua peserta.
Kursus ini turut dikendalikan oleh fasilitator yang berpengalaman iaitu Sdr. Rizan Hassan Ikon Belia 2011, Sdr. Awie Shoubli Jamal, Ketua Penyelaras Kelab Belia Hebat dan juga Sdr. Haris Azman Abdul Aziz, Exco MBN Selangor.