BANGI 2 Jun – Peluang mengadakan pertemuan dan kunjung hormat kepada Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengerusi Majlis Profesor Negara, Ketua Ahli Pemikir Perpaduan Negara dimanfaatkan sepenuhnya oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk mendapatkan pandangan dan bertukar-tukar fikiran mengenai isu perpaduan negara.
Mewakili Presiden MBM, Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin, Felo Penyelidik MBM bersama Sdr. Muhammad Amrun Ruzali telah membincangkan panjang lebar bagaimana fragmen etnik dan bangsa di Malaysia bergerak ke arah suatu matlamat bangsa idaman (nation of intent) yang bersifat kesatuan dalam kepelbagaian (a union in diversity). Kewujudan semula Kementerian Perpaduan Negara adalah langkah proaktif selepas kali terakhir pada tahun 1974 kementerian yang sama dibubarkan hanya selepas satu penggal beroperasi pasca peristiwa 13 Mei 1969. Sedangkan isu perpaduan adalah perkara pokok melibatkan kestabilan negara dan keselamatan nasional yang sepatutnya lebih diberikan perhatian.
MBM menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pemikir Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri dan bersedia memberikan kerjasama aktif sewajarnya.
MBM juga mempelawa Prof. untuk mengadakan wacana polisi dan dasar negara terkait tema perpaduan ini yang dianggap isu yang malar segar yang perlu diuruskan oleh generasi baru dengan penuh kebijkasanaan.
Sesungguhnya fabrik sosial negara yang berbingkaikan warna-warni perpaduan ini adalah keunikan yang perlu dilestarikan oleh belia yang bakal menggalas tugas mentadbir negara.