Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan kerajaan agar memandang serius terhadap isu kos sara hidup dikalangan belia di Malaysia. Ianya termasuklah isu berkaitan pendidikan, pengangkutan awam dan kesihatan.
Dalam sesi dialog bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution anjuran KPDNHEP dan MBM pada 5 Ogos 2019, beliau menyatakan pihak kementerian amat memerlukan input serta cadangan dari kalangan anak muda dan pemimpin belia bagi memudahkan pihak kementerian melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) merangka pelan strategik dalam mengawal isu ini. Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha yang juga ahli NACCOL bertindak sebagai moderator.
Antara isu yang banyak menjadi persoalan dikalangan peserta adalah hal berkaitan pemilikan rumah dan bantuan pendidikan yang berkurangan. Selain itu, peserta sesi dialog juga memuji inisiatif pihak kementerian dalam memperkenalkan inisiatif Food Bank serta pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang sedikit sebanyak mengurangkan beban kos sara hidup dikalangan belia.
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution turut tertarik dengan beberapa input serta idea baru yang dicadangkan termasuklah penyediaan latihan kepada majikan dalam menerima pekerja Orang Kurang Upaya (OKU). Selain itu, cadangan perlunya pemberian subsidi dalam pembelia alat bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) yang harganya mahal di pasaran turut mendapat perhatian serta akan dipertimbangkan untuk diberikan potongan cukai.
MBM mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Seri Saifuddin Nasution dan KPDNHEP secara keseluruhannya atas ruang kerjasama yang diberikan dalam menjayakan sesi dialog ini. Hasil dan makluman positif daripada sesi dialog yang telah dilaksanakan ini maka MBM berbesar hati dan menyokong penuh agar sesi dialog ini turut diadakan di peringkat negeri sebagai platform belia akar umbi dalam menyampai hasrat di samping membantu pihak KPDNHEP mendapatkan imput.
MBM menyeru agar belia mengambil peluang ini untuk menyampaikan isi hati dan hasrat mereka kepada pihak kerajaan berdasarkan tujuh kluster utama (kesihatan, pendidikan, utiliti, perumahan, e-dagang, pengangkutan, makanan) yang mempengaruhi kepada kos sara hidup belia dan rakyat. Belia dan orang ramai juga boleh menghantarkan sebarang pendapat dan idea menerusi emel berikut; mbm@belia.org.my, jufitri1979@gmail.com, progresif_ros@yahoo.com atau mbmsua@gmail.com.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)
Bertarikh : 6 Ogos 2019