MAJLIS BELIA MALAYSIA

Konvoi Santai & Trivia Aspirasi Meriahkan Jelajah Menggerak Belia di Kelantan

KOTA BHARU 21 April – Siri Jelajah “Menggerak Belia” sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 terus mengorak langkah apabila tiba di checkpoint keenam bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Panji, Kelantan.

Kehadiran jelajah ini disambut meriah oleh belia tempatan, sekali gus menyemarakkan semangat anak muda melalui pelbagai pengisian program yang menggabungkan elemen aspirasi, kreativiti dan kebersamaan komuniti belia.

Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik Kotak Ejen HBN 2026 oleh pasukan jelajah kepada Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Puan Nurdalila, sebagai tanda kesinambungan gerakan promosi sambutan HBN 2026 di peringkat negeri.

Antara pengisian utama program ialah sesi Trivia Aspirasi Anak Muda yang menguji pengetahuan serta mencabar daya kreativiti peserta. Selain itu, acara flag-off Konvoi Santai Belia Kelantan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Encik Mohd Saipuddin Zakaria, turut menjadi tarikan utama.

Konvoi bermotor yang disertai oleh beliawanis Negeri Cik Siti Wan Kembang ini berjaya menceriakan suasana dengan semangat kebersamaan serta memperkukuh jaringan komuniti belia setempat.

Jelajah “Menggerak Belia” bukan sahaja berfungsi sebagai platform hebahan dan promosi, malah menjadi wadah penting dalam menyemarakkan aspirasi generasi muda menjelang sambutan kemuncak Hari Belia Negara 2026 yang bakal berlangsung di Negeri Sembilan pada bulan Mei.

Selepas Kelantan, siri jelajah ini akan diteruskan ke negeri seterusnya, Terengganu, yang terkenal dengan jolokan “Negeri Paling Bahagia di Malaysia”.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »