MARANG 2 Jan. – Atas kesedaran dan tanggungjawab untuk merasai kesusahan yang dialami mangsa banjir, pelbagai pihak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan dekat sini mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang terlibat terutama di Kelantan.
Sumbangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 dalam pelbagai bentuk itu akan diagihkan kepada mangsa yang terlibat khususnya di Kampung Dabang, Kuala Krai, Kelantan menerusi konvoi Misi Kemanusiaan Mangsa Banjir yang melibatkan 100 peserta dengan menaiki 23 kenderaan pacuan empat roda.
Konvoi yang diterajui oleh Ketua Belia 4B Binjai Rendah, Zulkarnain Mamat itu turut disertai oleh wakil daripada Pertubuhan Belia 4B Marang, 4B Binjai Rendah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan selain pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat serta penghulu mukim.
Majlis pelepasan berlangsung di pekarangan Pasar Binjai Rendah kira-kira pukul 7.30 pagi ini yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan negeri merangkap ADUN Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang. Yang turut hadir isteri beliau, Norlia Harun.
Latiff yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang ketika ditemui berkata, konvoi tersebut dijangka berada di Kuala Krai iaitu kawasan yang kritikal dilanda banjir selama sehari bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di sana.
“Kita ucapkan tahniah kepada penganjur yang menggerakkan program murni ini menyalurkan bantuan bagi membantu rakan kita di negeri jiran yang ditimpa musibah dan kebanyakan sumbangan adalah dalam bentuk makanan,” katanya.
Beliau memberitahu, usaha itu juga menggambarkan semangat dan solidariti untuk sama-sama membentuk kesepaduan bagi turut sama merasai kesukaran yang dialami mangsa banjir.
Beliau berkata, selepas ini, konvoi yang sama dijangka bertumpu ke Dungun pula dalam usaha meneruskan misi kemanusiaan mangsa banjir di daerah berkenaan.
“Bencana banjir luar biasa kali ini telah memberi impak besar kepada kita semua untuk menghulurkan bantuan tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Latiff turut mengalu-alukan sumbangan pihak lain yang boleh disalurkan ke pusat pengumpulan bantuan kendalian kerajaan negeri di setiap pejabat daerah dan pejabat UMNO bahagian di seluruh Terengganu.
Sumber: Utusan