BANGI 15 Oktober – Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diwakili Presiden, Sdr. Jufitri Joha bersama-sama sekretariat MBM menghadiri Konvensyen Sejarah Negara 2019 yang membawa tema Sejarah dan Pembinaan Negara pada 15 dan 16 Oktober 2019 di Tenera Hotel, Bangi Selangor. Konvensyen anjuran Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Konvensyen yang padat diisi dengan perbincangan dan ulasan mengenai topik berkaitan sejarah pembinaan bangsa dan negara ini dijayakan bersama tokoh-tokoh dan ahli sejarah seperti Prof Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, YB. Dr. Abd. Aziz Bari dan Prof. Dr. Rajah a/l Rasiah.
Beberapa perkara penting berjaya dikupas dan mendapat perhatian oleh peserta, antaranya perkara mengenai warisan budaya yang mampu dijadikan sebagai asas pembinaan negara. Sesi ini berjaya mencungkil penemuan baru berbentuk rekod terkini yang menunjukkan negara ini mula dihuni sejak 1.83 juta tahun dahulu sebagai permulaan zaman prasejarah. Bukti tinggalan manusia awal ini (artifak dan ekofak) dan landskapnya (tapak) adalah sebagai penanda penting kepada kekayaan dan kepelbagaian warisan budaya sesebuah kawasan, negeri dan negara.
Turut dibincangkan adalah perkara mengenai institusi diraja sebagai tonggak pemerintahan negara yang mengupas perkara mengenai kewujudan Majlis Raja-raja serta fungsi institusi berkenaan. Selain itu, ruang wacana ini turut membincangkan mengenai peranan dasar-dasar kerajaan dalam memastikan masyarakat majmuk di negara ini dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur.
Konvensyen Sejarah Negara 2019 ini telah mengemukakan resolusi seperti berikut;
1. Menjadikan sejarah yang sahih sebagai tunjang utama dalam medium pendidikan negara;
2. Menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan yang bertanggungjawab antaranya mengawasi, memantau, menangani, memberi penjelasan dan mengesahkan isu dan fakta yang berkaitan dengan sejarah negara;
3. Menggesa kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan Sejarawan dalam penulisan sejarah negara dengan memberi penganugerahan yang selayaknya;
4. Menggesa kerajaan mewujudkan dana khas bagi tujuan penyelidikan dan pendokumentasian sejarah negara secara berterusan; dan
5. Menyokong peranan Arkib Negara Malaysia dalam memasyarakatkan sejarah kebangsaan melalui penganjuran Konvensyen / Seminar Sejarah Negara secara berkala