KUALA LUMPUR 24 Feb – Selaras usaha kerajaan untuk memperkasa belia, MBM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Belia Nasional yang julung kali diadakan bertujuan merangka halatuju bersama dan mengupaya Majlis Belia Daerah (MBD) dalam kerangka Malaysia Madani.
Konvensyen yang dihadiri kepimpinan belia dan wakil-wakil daripada Majlis Belia Daerah seluruh negara ini menjadi platform terbaik untuk mereka mendalami ilmu pengurusan organisasi, membincangkan polemik cabaran, kelemahan dan permasalahan, merangka strategi, menambah jaringan supaya pertubuhan belia di peringkat akar umbi ini terus lestari dan kekal relevan sebagai pusat belia setempat bepersatuan.
Hasil input daripada konvensyen ini akan dibawa keperingkat kementerian sebagai penambahbaikan terhadap pelan transisi ke arah menjayakan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan) 2019 [Akta A1602] sebelum penguatkuasaan had umur belia di bawah 30 tahun dilaksanakan pada 2026.
MBM turut berhasrat meneruskan konvensyen ini di setiap daerah dalam negeri bagi mengumpulkan lebih banyak dapatan untuk diangkat dan dijadikan rujukan kepada pihak kerajaan bagi memastikan tiada jurang antara daerah, negeri dan persekutuan.
KBN2024 dimulakan dengan sesi Sandbox “Anda Juara Komuniti” dikendalikan bersama fasilitator khas dari UPM-UNICEF Communication for Development (C4D-Social Behaviour Change). Slot ini bagi melihat potensi dan penglibatan masyarakat serta Majlis Belia Daerah (MBD) bagi pelaksanaan program-program pembangunan belia.
Sesi town hall Visi MBM 2048 : Apa MBD Mahu? mengambil tempat selepas itu. Pembentangan dan soal jawab bersama MBD telah disampaikan oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden MBM. Sesi ini dikendalikan oleh Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin, Penolong Ketua Penerangan MBM.
Dialogika Daerah bersama YB Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang diberlangsung selepas sesi rehat memberi ruang pimpinan belia khususnya di peringkat akar umbi (Majlis Belia Daerah) menyampaikan secara terus luahan dan hasrat mereka.
YB Timbalan Menteri menyambut baik inisiatif MBM ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap segala isu dan cadangan yang diutarakan. Sesi dihoskan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Hadir sama Ketua Setiausaha KBSMalaysia, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah JBSNegara, Tuan Mohd Azhari Mohammad; Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Dr. Zainah Shariff; Pendaftar Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Encik Hasnata Hasan.
Sesi seterusnya Interaktif Perubahan Tingkahlaku Sosial dan Behaviourial Insights (Social Behaviour Change + Behavioural Insights MBD) bersama peserta-peserta Konvensyen Belia Nasional 2024. Sesi ini menekankan konsep mengenalpasti masalah, perancangan dan komunikasi strategik melibatkan majlis belia daerah dan impak terhadap program belia.
Slot ini dikendalikan oleh UPM-UNICEF-C4D.