Konvensyen Belia Kebangsaan 2021 (KBK2021) hadir dengan tema Impian Anak Muda: Membina Masa Depan. Medan ini diharap dapat membuka ruang kepada naratif dan suara belia dalam menggambarkan semula masa depan dengan tindakan strategik. KBK 2021 kali ini adalah legasi untuk membangunkan Kaum Intelektual dalam Masyarakat Membangun (Alatas, 1977) dengan berasaskan Pedagogy of Hope (Freire,1999).
KBK2021 sempena Hari Belia Negara merupakan satu wadah yang amat penting untuk pemimpin-pemimpin belia berinteraksi secara lebih aktif dan membina rangkaian kerjasama demi manfaat bersama. Dalam memacu negara ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi, perubahan asas perlu dilakukan dalam pelbagai aspek.
KBK2021 telah pun diadakan bermula 31 Ogos 2021 dan berakhir pada 23 September 2021 mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadi ruang kepada anak muda untuk berkongsi pandangan dan idea mereka tentang masa depan yang mereka mahukan.
Buat pertama kalinya KBK2021 diadakan secara atas talian sepenuhnya selari dengan norma baharu dengan mengenengahkan empat isu utama belia iaitu; (1) Stream 1: Kesihatan Mental, (2) Stream 2: Pekerjaan Belia, (3) Stream 3: Pendidikan, dan (4) Stream 4: Sekuriti Makanan dan Kelestarian Alam.
Isu-isu ini diambil setelah meneliti cabaran belia menghadapi tempoh pasca-pandemik sepertimana laporan Youth and COVID-19, Impacts on jobs, educations, rights and mental well-being pada 2020 (International Labour Organisation, 2020). Laporan ini menggariskan kesan jangka panjang kepada belia dalam ekonomi dan sosial. Hasil kajian ILO melihat anak muda bimbang dengan kedudukan mereka di masa depan.
Sejarah menunjukkan kesan krisis seperti COVID-19 ini akan adalah serius kepada populasi yang lebih muda yang mana berlakunya ganguan kepada proses pendidikan dan latihan, peningkatan keadaan rentan kepada pekerja muda, dan jangka masa lebih lama untuk transisi kepada pekerjaan yang stabil.
Melihat kepada hal ini, Konvensyen Belia Kebangsaan pada tahun ini menjadi ruang kepada anak muda untuk berkongsi pandangan dan idea mereka tentang masa depan yang mereka mahukan. Setiap stream yang dijalankan diselangai dengan sesi JanaKBK (webinar) dan ConnectKBK (bengkel) berserta Kahoot Kuiz bagi mewujudkan ruang interaktif antara peserta dengan pembicara.
Stream 1: Kesihatan Mental banyak mengenengahkan soal kesedaran kesihatan mental dan kaitannya dengan anda. Dalam stream yang bertemakan ‘membina kesedaran mental untuk masa hadapan’ ini diadakan ConnectKBK terapi seni, bengkel ketagihan teknologi dan Psychological First Aid (PFA). Stream 1 ini mendapat kerjasama dengan beberapa organisasi seperti Green Crescent Malaysia, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Helwa ABIM, Bayt Al-Rahmah dan Rahmah Support Team.
Stream 2: Pekerjaan Belia membicarakan tentang jenis pekerjaan di masa depan dan kemahiran yang diperlukan. Sesi ini telah mendapat kerjasama daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, UTEM, Appxplore (iCandy) dan XR Associates. ‘Re-imagine work in the future’ adalah tema yang dibawa dalam stream ini dalam menggambarkan peluang yang perlu diterokai oleh belia dalam memenuhi demand perkerjaan masa hadapan.
Stream 3: Pendidikan di Masa Hadapan dilaksanakan bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Teach for Malaysia. Stream 3 ini mendapat partisipasi daripada pelajar sekolah rendah untuk ConnectKBK Edisi Sekolah Rendah: Lakarkan Sekolah Pada Masa Depan dan pelajar dari sekolah menengah dalam ConnectKBK Edisi Sekolah Menengah: Kesaksamaan dalam Pendidikan. Para guru juga diberi peluang untuk berkongsi idea dalam bengkel ConnectKBK bengkel Daya Upaya Guru Muda Malaysia. Bagi sesi JanaKBK Masa Depan Pendidikan: Impian Kami penganjur menampilkan Azlina Kamal, seorang pakar pendidikan daripada UNICEF Malaysia.
Stream 4: Sekuriti Makanan dan Kelestarian Alam mendapat kerjasama dari pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membangkitkan perkara-perkara menarik tentang ramalan industri makanan serta pertanian di Malaysia pada masa hadapan dari segi bentuk, peluang dan cabarannya selari dengan temanya iaitu ‘Sekuriti Makanan Di Masa Hadapan dan Peluang Untuk Belia’.Turut dibicarakan di dalam stream ini melalui ConnectKBK adalah Teknologi Drone Untuk Petani Muda yang dilihat sebagai satu peluang menjana pendapatan berasaskan aplikasi teknologi dalam pertanian.
Sejumlah 628 orang peserta menyertai semua stream yang dijalankan sepanjang KBK2021 yang dijalankan selama hampir sebulan ini. Program-program susulan daripada KBK2021 akan diadakan bagi mengangkat idea dan pandangan anak muda yang telah dicurahkan sepanjang program ini dijalankan.