SHAH ALAM 21 Julai – Majlis Belia Selangor menyelar Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kerana dilihat terlalu tunduk dengan pihak tertentu dalam penganjuran konsert MTV World Stage yang akan diadakan di I-City di sini pada Ahad ini.
Pengerusi Tetapnya, Nor Akmal Ibos berkata, kerajaan negeri perlu lebih tegas dan tidak sepatutnya memberi kebenaran kepada penganjur mengadakan konsert bertaraf antarabangsa itu di I-City kerana ia adalah bandar teknologi maklumat dan bukannya pusat hiburan.
“Bagi pihak belia, kami beranggapan sesebuah konsert tidak sepatutnya dianjurkan di situ kerana I-City adalah pusat teknologi maklumat yang sepatutnya memberi manfaat kepada semua rakyat terutama pelajar universiti yang tinggal di kawasan berhampiran.
“Penganjuran konsert seperti itu juga dikhuatiri akan menyebabkan pencemaran bunyi selain turut membuatkan aliran trafik di kawasan berkenaan sesak sekali gus menyusahkan penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penganjuran MTV World Stage mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Pas Selangor dan Perkasa dengan alasan lokasinya terlalu hampir dengan kawasan perumahan.
Bagaimanapun, awal bulan lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap memberi kebenaran kepada penganjuran konsert itu walaupun ia dibantah oleh sekutunya sendiri, Pas.
Pada sidang akhbar yang dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan pada 18 Mei lalu, penganjur mengesahkan kehadiran kumpulan rock antarabangsa, 30 Seconds To Mars yang akan beraksi bersama kumpulan rock tempatan, Pop Shuvit pada konsert berkenaan.
Mengulas lanjut, Nor Akmal mencadangkan lokasi konsert berkenaan dipindahkan ke mana-mana stadium sama ada di Shah Alam atau di Bukit Jalil.
“Dari segi tahap keselamatan, adalah lebih baik ia diadakan di stadium kerana selamat dan pihak penganjur juga mudah untuk mengawal hadirin yang hadir pada hari itu.
“Stadium juga boleh menempatkan lebih ramai hadirin kerana kemudahan yang disediakan berbanding I-City,” ujarnya.