MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kongsi pengalaman

PUTRAJAYA, 25 Mei 2012: Seramai 42 duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia akan dibawa meninjau tapak Himpunan Jutaan Belia 2012 di sini untuk berkongsi kemeriahan suasana dan keunikan yang ditonjolkan sepanjang lima hari acara berkenaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, semua duta terbabit akan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bermula jam 4 petang Jumaat ini untuk meninjau pameran dan aktiviti di tapak acara. Menurutnya, melalui cara itu negara lain dapat berkongsi pengalaman Malaysia yang mengundang kemeriahan dengan pembabitan belia dari seluruh negara. “Ini platform terbaik yang boleh dikongsi negara lain bersama Malaysia dalam usaha membangunkan belia berkualiti dari segala aspek,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran sambutan Hari Susu Sedunia di tapak lokasi sambutan Hari Belia Negara di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Rahul Colano.

Razali berkata, Hari Belia Negara ialah himpunan belia terbesar negara dan melalui tinjauan khas duta besar serta pesuruhjaya tinggi terbabit membolehkan mereka menyaksikan gambaran sebenar masyarakat harmoni Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.

“Kita mahu mereka lihat sendiri wajah sebenar Malaysia yang aman, selain mahu duta terbabit menilai sendiri tanpa terus mempercayai apa dipaparkan dalam blog atau Internet,” katanya.

Menurutnya, semua acara dan aktiviti diadakan dalam karnival itu wajar dimanfaatkan semua pihak untuk kebaikan bersama. “Kita bangga mempunyai belia terbaik, kreatif dan tersusun serta berani mengetengahkan bakat dan idea kepada umum. “Misalnya, pembabitan mereka dalam Festival Jazz Belia adalah satu pencapaian membanggakan. Festival itu dijangka muncul sebagai acara terbesar dunia bagi kategori berkenaan,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »