JOHOR BAHRU 15 September – Kongres Belia 2019 berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamatnya dengan kehadiran lebih 3,000 belia pelbagai latar belakang dari seluruh negara.
DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja semasa merasmikan program tersebut bertitah menegaskan bahawa negara hanya boleh maju jika rakyatnya bersatu-padu.
Baginda bertitah, segala usaha ke arah perpaduan rakyat mesti disokong, asalkan niat itu adalah demi memperbaiki sebarang kelemahan ke arah memajukan negara.
Bertema, “Hala Tuju Pertubuhan Belia Malaysia”, kongres itu menjadi platform penting bagi kepimpinan belia serta pemegang taruh bersama-sama berinteraksi dan membina rangkaian kerjasama demi manfaat semua.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk cabaran yang dihadapi pertubuhan belia, peranan yang dapat diambil oleh pemegang taruh belia serta penyediaan ekosistem sokongan untuk pembangunan dan kelestarian belia berpertubuhan yang akan menerima impak besar akibat pindaan Akta Rang Undang-Undang (RUU) 668 tahun 2019.
Pada majlis itu, Tunku Mahkota Ismail turut berkenan menerima resolusi daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengandungi 11 perkara berhubung hala tuju pertubuhan belia negara.
Kongres Belia dianjurkan MBM dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor.