MAJLIS BELIA MALAYSIA

KOMITMEN KERAJAAN TERHADAP GENERASI TANI WAJAR DIBERI PUJIAN

Kenyataan Media oleh Sdr. Manndzri Nasib, Naib Presiden MBM merangkap Biro Industri, Asas Tani dan Pertanian, Majlis Belia Malaysia

Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui penelitian Biro Industri, Asas Tani dan Pertanian (nya) melihat bidang pertanian adalah aset besar negara sejak sekian lama. Walaupun dunia berlari pantas menghambat masyarakatnya dengan teknologi dan sains, namun keperluan terhadap sumber keperluan asas (makanan) tiada berpenghujungan. Koloni Asia, ASEAN dan Malaysia wajar mengambil tanggungjawab, meneruskan warisan sebagai pengeluar makanan dunia.

Di Malaysia, dasar-dasar sedia ada termasuk Halal Hub dan Gedung Makanan Negara (FELDA) adalah komitmen ke arah kebertanggungjawaban ini. Pemerkasaan agensi-agensi Kerajaan yang berasas kepada pertanian seperti FELDA, RISDA, FELCRA, LKIM, MPOB, UPM dan lainnya merupakan bukti kesungguhan Malaysia. Perkara ini bukan sahaja merujuk kepada bahan tani yang dikeluarkan tetapi lebih mustahak adalah kesejahteraan komuniti tani yang lazimnya didokongi oleh lapisan masyarakat di pedalaman, kurang berpendidikan (kecuali pertanian moden) dan hasil pendapatan yang terbatas.

Ekonomi tani dengan skala minor menjadikan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan masyarakat tani terus terbela dan diperkasa adalah amat signifikan. Terkini, adalah pemberian Dana Insentif Kerajaan bernilai RM 2.4 billion kepada golongan peladang, penternak dan nelayan seluruh negara melibatkan subsidi bahan tani, teknologi, sara diri serta pembangunan modal insan. Insentif yang bertujuan memperkasa bidang pertanian dan menaik taraf kebajikan komuniti tani negara adalah suatu usaha yang wajar diberi pujian.

Difahamkan sejumlah RM28 juta daripada keseluruhan peruntukan insentif ini adalah bagi membantu golongan pekebun kecil serta membiayai kursus lanjutan untuk kumpulan Kor Tani. Generasi belia dalam segmen tani di Malaysia sewajarnya merebut peluang ini melalui saluran dan kaedah yang telah ditentukan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) memuji komitmen Kerajaan ini dan mengucapkan terima kasih kepada YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang prihatin dan tidak pernah mengabaikan komuniti tani negara kita. Pastinya, belia tani dalam kelompok ini samada sebagai petani atau penternak akan mendapat faedah daripada insentif ini.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »