Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YP) telah menganjurkan PROKENS Program Intervensi Pra Pekerjaan untuk Penerima Faedah Peneraju Skil pada 25 – 27 November 2022 bertempat di Hotel Emerald Puteri Sungai Petani, Kedah.
Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Latihan Kemahiran Kebolehpasaran Pekerjaan PROKENS yang dilaksanakan oleh MBM sejak 2018 di bawah Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan MBM.
Seramai 106 belia dari beberapa institusi kemahiran telah menyertai program ini yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Yayasan Peneraju. Antara lain program ini bertujuan membina keyakinan, perancangan masa depan dan persediaan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
Setiap peserta akan mengikuti segmen yang dikongsikan seperti Resume Hacks, Interview Hacks, Problem Solving, Managing Workplace Conflict, Communication & VAK Personality Style, Design Thinking, Working in Team, Personal Development, Financial Literacy dan Employment Right
Alhamdulillah di akhir program ini kesemua 106 peserta yang hampir kebanyakannya lepasan SPM berjaya menyiapkan resume mereka serta tugasan-tugasan lain.
Slot-slot ini disampaikan oleh trainer dan fasilitator terlatih yang pakar dalam bidang masing-masing diketuai Sdr. Mohd Haziq Zakaria.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Kolonel Bersekutu (PA) Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail pada hari terakhir program.
“Yayasan Peneraju sebagai agensi bermatlamat membangun bakat dan menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada Bumiputera menyambut baik kolaborasi bersama MBM dalam membantu kebolehpasaran belia berkemahiran”, ujar beliau.
Terdahulu, Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Peneraju atas kerjasama ini dan berharap peserta yang menyertainya mendapat manfaat dan ilmu (softskills) sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan nanti.
Hadir sama Ketua Pengarah PROKENS Sdr. Abu Kadir Mubarak Ali merangkap Penolong Setiausaha Agung MBM; Presiden Majlis Belia Negeri Kedah Sdr. Amir Murshidi Dato’ Samsuddin; Senior Associate Strategic Engagement Yayasan Peneraju Puan Shazana Mohd Daud; Trainer PROKENS Sdr. Haziq Zakaria; Exco MBM Sdr. Amir Syarifuddin Abd Majid dan Sdr. Matt Ngai.
Turut hadir memantau perjalanan program ialah pegawai dari Yayasan Peneraju Cik Siti Najwa Mohamad Shudirman dan Encik Muhammad Nizam.