CHERAS 19 Dis, – Sempena KL Meet 2.0 Program Komuniti Belia Prihatin sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa, Majlis Belia Malaysia (MBM) sekali lagi menyantuni penghuni-penghuni di Pusat Perlindungan Remaja Wanita, Taman Seri Puteri (TSP) Cheras, Selangor.
TSP merupakan tempat perlindungan bagi remaja wanita yang kebanyakannya terlibat dengan kes hamil luar nikah selain pelaku dan mangsa seksual.
Kunjungan MBM kali ini disertai pelatih-pelatih yang juga merupakan sukarelawan MBM dari AIMI Akademi yang khusus dalam bidang kecantikan.
Ketua Pelatih AIMI Akademi telah menyampaikan pengenalan, pendedahan serta demontrasi kepada peserta-peserta mengenai bidang asas manicure dan penjagaan kesihatan wanita.
Penyelaras program, Putri Balkis berkata, “kehadiran MBM hari ini diharap sedikit sebanyak bertujuan memberi sokongan dan menyuntik keyakinan adik-adik di pusat perlindungan ini selain menerangkan kepada mereka kepentingan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri”.
“Pendedahan bidang kecantikan ini juga sebagai salah satu kemahiran yang boleh diceburi oleh adik-adik apabila keluar dari pusat ini dalam merencana masa depan yang lebih baik”.
Selain itu, kehadiran kami juga membuktikan bahawa masyarakat masih sayang pada mereka, tambah beliau.
Walau apa pun kisah silam mereka, kehadiran rombongan MBM telah mengukir senyuman buat mereka dan semoga ada sinar menanti mereka nanti.