CYBERJAYA 1 Jun – Pandemik Covid-19 telah menjejaskan ekonomi di seluruh dunia. Walaupun program vaksinasi sedang dijalankan, golongan belia harus bersedia untuk mencipta peluang ekonomi cara baru khususnya melalui platform-platform digital berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif. Sejajar dengan visi Kerajaan Malaysia merealisasikan Wawasan Kesejahteraan Bersama 2030, Yayasan KRU melancarkan program “Kita Jaga Kita”.
“Kita Jaga Kita” adalah program berbentuk tajaan latihan jangka pendek dan sumbangan barangan teknologi maklumat dengan tujuan memperkasakan ilmu dan ekonomi para belia khususnya dari kalangan keluarga kumpulan B40 di Malaysia. Dengan menggunakan barangan teknologi maklumat yang diberikan kepada mereka, penerima sumbangan terbabit diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan jangka pendek (dibawah tajaan Yayasan KRU) dalam talian bagi bidang-bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital. Seterusnya, para pelatih tersebut akan dibimbing untuk menjadi “influencer”, memulakan perniagaan atau memajukan perniagaan masing-masing melalui kerjasama strategik dengan platform-platform media digital dan e-dagang.
Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah, “golongan belia adalah kumpulan sasar kami kerana mereka mampu mencetus perubahan. Kami percaya program “Kita Jaga Kita” akan memberi impak yang tersendiri khususnya mengubah nasib golongan belia B40 bagi membantu keluarga masing-masing.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada AEON Co Malaysia Berhad serta Majlis Belia Malaysia (MBM) kerana menjadi organisasi-organisasi terawal memberi sokongan kepada program kami ini”.
Pada majlis yang sama, Yayasan KRU turut melancarkan lagu dan video muzik “Kita Jaga Kita” tajaan AEON Co Malaysia Berhad dan KRU Music. Artis-artis yang terlibat didalam rakaman lagu dan penggambaran video muzik ini turut menyumbang kepada tabung Yayasan KRU dimana hasil kutipan royalti dan jualan digital dari penstriman lagu ini akan digunakan bagi membiayai inisiatif Yayasan KRU.
Lagu “Kita Jaga Kita” menggabungkan artis-artis pelbagai bangsa yang terdiri daripada Zamani, Linda Rafar, Adam, Kumpulan VIP, Mior Zulkarnian, Dian Hashim, Fai Ramli, DJ Fateh, Timur, Winnie K, Denes Kumar dan Balan Kash. Senarai penuh Ikon Media bagi program “Kita Jaga Kita” adalah seperti Lampiran 1 sementara senarai sukarelawan di peringkat nasional dan negeri adalah seperti yang tertera di Lampiran 2.
Sementara itu Encik Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia berkata “AEON Malaysia bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan Yayasan KRU dan Majlis Belia Malaysia dalam program pembangunan komuniti “Kita Jaga Kita”. Cabang perniagaan AEON Malaysia tidak terhad kepada peruncitan sahaja, malah AEON juga turut beroperasi menyediakan perkhidmatan ‘Central Kitchen’ serta memfokuskan kepada jualan makanan bagi menjana dana untuk mereka yang memerlukan dan berbagai lagi. Di AEON, kami sentiasa berusaha untuk terus terlibat di dalam program-program pembangunan demi kelestarian komuniti. Kami yakin latihan-latihan kemahiran yang disediakan menerusi program “Kita Jaga Kita” ini, kita boleh membangunkan serta memperkasakan generasi muda yang penuh inovasi, kreatif serta bersemangat keusahawan.”
Program ini sudah mula mendapat sokongan sektor swasta, ikon-ikon media lain serta sukarelawan bagi menyemarakkan semangat keusahawanan dikalangan belia.
Sukarelawan hanya perlu membantu Yayasan KRU memuat-naik dan berkongsi bahan-bahan hebahan program “Kita Jaga Kita” melalui platform-platform media social kendalian masing-masing, termasuk lagu tema dan video muzik “Kita Jaga Kita” nyanyian artis-artis tempatan sekaligus meningkatkan lagi kesedaran pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan. Yayasan KRU ingin menjemput orang ramai serta sektor swasta untuk bersama-sama Yayasan KRU menjayakan inisiatif “Kita Jaga Kita”.
Untuk maklumat lanjut atau mendaftar sebagai sukarelawan, sila layari laman sesawang www.yayasankru.org