MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kesungguhan jayakan Malaysia Madani, PM umum peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta setahun kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) atas kesungguhan menjayakan konsep Malaysia Madani dalam kalangan belia.

Perdana Menteri berkata, penglibatan belia amat penting terutama dalam pembangunan masa depan negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pandangan dan hujah golongan belia perlu dipandang serius serta diterima sekiranya difikirkan sesuai.

Beliau memaklumkan, kerajaan mengiktiraf desakan dan pandangan yang sering disuarakan golongan belia terutama daripada MBM.

“Semasa saya memimpin Majlis Belia Malaysia, ketika itu masih belum cukup pengalaman (namun), sekarang saya saksikan pimpinan lebih matang dan bertanggungjawab.

“Satu tindakan yang bermakna adalah secara serius menerima pandangan dan hujah sekiranya difikirkan sesuai serta boleh dilaksanakan.

“Apa istimewanya MBM? Ini kerana badan-badan mewakili persatuan itu kadang dari wilayah, sektor, kota atau desa, kaum serta agama.

“Namun, MBM boleh menyatukan kesemuanya dengan semangat perpaduan yang jitu dan sebab itu MBM serta Majlis Belia Negeri (MBN) itu sangat penting bagi menyelamatkan negara kita untuk membina kekuatan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari Belia Negara 2023 di Port Dickson, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri meluahkan keyakinan bahawa golongan belia mempunyai idealisme yang boleh membantu membina negara bersama-sama.

Pada masa sama, beliau juga mahu MBM menyediakan laporan dalam tempoh satu bulan termasuk perancangan menambah keanggotaan dalam persatuan belia.

“Saya juga harap MBM boleh pastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM bermula dengan minimum 30 peratus.

“Selain itu, MBM perlu memperhebatkan program-program ekonomi, latihan dan kebajikan termasuk kesedaran belia untuk menyelamatkan negara ini.

“MBM harus beri laporan dalam satu bulan. Kalau laporan tak memuaskan, dari RM5 juta boleh turun empat. Kalau laporan cukup cemerlang dari RM5 juta boleh ditambah lagi, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »