24 Oktober 2015 @Blues Manor, Beijing
Seramai 5 orang sukarelawan Malaysian Youth Volunteer Community (MyVOC) telah berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berkaitan teknologi hijau dan pengurusan alam sekitar semasa lawatan ke Beijing ElectricVehicle Co. Ltd dan The Environmental Protection Propaganda Center of Beijing tempohari.
Lawatan ini adalah bersempena program 2015 2015 International Youth Organization Forum & Beijing Sister City Youth Camp telah di adakan di Beijing pada 19 hingga 25 Oktober 2015 yang lalu.
Delegasi Malaysia terdiri dari Saudara Chok Mei Fei, Saudara Akmal Fadli, Saudari Nur Azizah, Saudari Nur Azeken dan diketuai oleh Saudara Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM.
Negara China telah mencapai banyak kemajuan dalam bidang tenaga hijau terutamanya dalam bidang teknologi dan pengeluaran (manufacturing). Pada masa ini, Negara China merupakan pengeluar sel solar photovoltaic (PV) yang terbesar di dunia dengan membekalkan hampir 60% solar PV di pasaran dunia pada tahun 2009-2015 yang menjadikannya amat berdaya maju. China juga mempunyai kepakaran dalam menjana elektrik daripada tenaga angin.
Lawatan ke kedua-dua institusi di atas memaparkan keazaman dan keyakinan kerajaan China untuk menyusun semula struktur, memantapkan pertumbuhan dan menggalakkan pembangunan kepada dunia luar, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur asing terhadap China.
Tidak keterlaluan kalau disifatkan syarikat-syarikat di Negara China memperlihatkan harapan pembangunan ekonomi pada masa depan di samping melibatkan diri dalam pertumbuhan ekonomi China dan dunia. Sokongan dan komitmen Kerajaan China telah memperkukuh keyakinan banyak syarikat yang berorentasikan inovasi. Keusahawanan dan inovasi akan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi China yang baru.
Kami difahamkan bahawa inovasi amat penting bagi perkembangan teknologi dan peningkatan produktiviti pekerja di dunia. Kerajaan China sedang giat menggalakkan inovasi berfaedah kepada mengoptimumkan struktur pertumbuhan ekonomi.
Di Negara China, kita dapat melihat pertumbuhan industri teknologi tinggi lebih cepat berbanding keseluruhan industri. Di samping itu penjimatan tenaga dan mesra alam serta ekonomi hijau juga menunjukkan perkembangan yang pesat, dan sumber pertumbuhan ekonomi baru sedang diwujudkan dengan cepat.
Usaha untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.
Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.
Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.
Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.