MAJLIS BELIA MALAYSIA

KESEDIAAN MENGHARUNGI INDUSTRI 4.0 SELARAS CABARAN WAWASAN 2020 DI MALAYSIA

Oleh: Sdr. Jufitri Joha

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

Dunia sentiasa pantas berubah. Begitu juga di Malaysia.  Perubahan tersebut harus sentiasa ditanggapi dan rakyat hendaklah disediakan sepenuhnya bagi menghadapi arus perubahan yang berlaku.

Malaysia pernah menggagaskan Wawasan 2020 yang mempunyai 9 cabaran utama.  Wawasan 2020 ini yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ke 4, Tun Dr Mahathir bin Mohamed ini jelas mengariskan 9 cabaran yang mencakupi semua aspek kehidupan rakyat Malaysia bagi mengharungi masa depan.  Kini tahun 2020 berada diambangnya.  Hanya beberapa bulan lagi kita akan tiba ke tahun 2020. Apa yang perlu difikirkan adalah sejauh mana rakyat Malaysia telah berjaya dan bersedia menghadapi cabaran 2020? Terkini, cita-cita menjadi Negara maju telah pun dianjakkan ke 2025 oleh pihak Kerajaan bagi memberikan lebih masa untuk persediaan.

Sehingga kini, belum ada organisasi dari kerajaan mahupun swasta yang membuat penilaian tentang pencapaian rakyat Malaysia dalam mengharungi Cabaran Wawasan 2020 tersebut. Penilaian tersebut adalah penting untuk menjadi kayu pengukur kepada kesediaan rakyat Malaysia dalam menghadapi Industri 4.0 dan juga kesediaan menjayakan wawasan baharu yang turut diilhamkan YAB Tun iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama dan bakal digagaskan esok 5 Oktober 2019. Ini kerana seandainya diperhalusi cabaran Wawasan 2020 tersebut adalah selaras dengan cabaran menghadapi RI4.

Industri 4.0 adalah cabang kepada Revolusi Industri Keempat yang secara ringkasnya memerikan keadaan atau trend semasa yang bergerak ke arah automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan merangkumi elemen seperti internet pelbagai (IoT), pengkomputeran kognitif dan kepintaran buatan (AI).

Cabaran terbesar dalam Industri 4.0 ialah kebanyakan kerja akan diambil alih oleh mesin dan robot terutama kerja di bidang perkhidmatan. Ini akan mengurangkan peluang kerja di kalangan rakyat khususnya belia menyebabkan ramai yang akan mengganggur. Oleh yang demikian selaras dengan cabaran ke-8 Wawasan 2020 iaitu “Menjamin Sebuah Masyarakat Yang Adil Dan Saksama Ekonominya” rakyat dan kerajaan perlu memikirkan kaedah dan strategi untuk menghadapi cabaran tersebut.

Kekuatan ekonomi adalah tunjang dan akan saling terkait dengan 8 cabaran yang lain kerana rakyat yang kukuh ekonomi akan membolehkan mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih selesa. Pelbagai kaedah perlu difikirkan bagi menjamin kedudukan ekonomi yang selesa kepada rakyat dalam keadaan peluang pekerjaan dikurangkan akibat Industri 4.0.

Antara kaedah yang boleh dicadangkan ialah mengurangkan masa kerja dengan gaji yang sama dan memastikan kos hidup dikekalkan. Dengan kurangnya masa kerja, rakyat dapat meluangkan lebih masa kepada keluarga selaras dengan cabaran ke tujuh Wawasan 2020 iaitu “Mewujudkan Masyarakat Penyayang Dan Budaya Penyayang”.  Pengurangan masa kerja daripada 8 jam ke 5 jam akan memberikan pekerja lebih produktif dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.  Dewasa ini, kita melihat generasi muda yang merupakan aset negara pada masa hadapan menghadapi masalah sosial yang membimbangkan dan kronik. Malahan ada ibu bapa yang menyerahkan jagaan anak bulat-bulat kepada sekolah akibat kesan psiko-ekonomi.

Namun untuk melaksanakan masa kerja yang kurang dengan gaji yang sama serta kos hidup yang dikekalkan merupakan cabaran besar kepada kerajaan tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Cabaran untuk mendapatkan sumber atau dana yang besar bagi menampung bayaran gaji serta pencen kakitangan hendaklah difikirkan. Antara kaedah yang boleh dicadangkan ialah menghapuskan pencen kakitangan awam. Tapi adalah tidak adil bagi kakitangan awam yang telah pencen tetapi tidak membolehkan mereka mendapat imbalan pada penat lelah mereka semasa bekerja. Antara kaedah bagi menjamin keadilan tersebut adalah anak-anak kepada pesara hendaklah membayar secara wajib beberapa peratus daripada gaji mereka untuk bayaran kepada ibu bapa berdasarkan peratus gaji mereka. Semakin ramai anak semakin banyaklah wang pencen yang bakal diperoleh oleh pesara tersebut. Kaedah ini secara tidak langsung menjadikan ibu bapa lebih bertanggungjawab untuk menjaga kualiti pendidikan anak mereka bagi membolehkan pencapaian anak mereka lebih baik bagi membolehkan anak mereka mendapatkan pekerjaan yang baik. Secara langsung ia akan membantu mendominasi cabaran Wawasan 2020 yang lain.  Ia juga dapat menjimatkan hasil kerajaan untuk membayar pencen pekerja yang kini mencecah billion ringgit sebulan.  Bagi kakitangan yang tidak mempunyai anak seharusnya ada kaedah untuk membolehkan pencen dibayar setiap bulan untuk mereka seperti pelaburan awal untuk simpanan persaraan.

Solusinya dan hakikatnya masa hadapan negara dan rakyatnya berada di tangan kita.  Pergolakkan politik negara seharusnya tidak mengganggu kemajuan negara seandainya pasak dan dasar yang kukuh telah ditanam dijiwa rakyatnya. Pemimpin boleh bertukar ganti namun dasar hendaklah dikekalkan. Rakyat hendaklah dididik melalui pelbagai kaedah terutama melalui pendidikan di sekolah agar dapat disediakan dengan cabaran kehidupan pada masa hadapan dan tidak terlampau diikat dengan kemahiran akademik.  Media masa dan elektronik juga harus digunakan sepenuhnya dalam menyedia dan menyedarkan rakyat tentang cabaran masa hadapan.  Dasar yang baik hendaklah dilaksanakan dan terus dikekalkan dengan penambahbaikan, bukan dengan rombakkan mutlak terutama apabila berubah menteri atau berubah kerajaan.  Pemilihan kerajaan haruslah berdasarkan kepada sejauh mana entiti tersebut mampu membawa kemajuan kepada negara dan rakyatnya dalam mengekalkan dasar sedia ada. Ambillah contoh negara-negara maju yang lain dan jadikanlah mereka model kepada negara kita. Namun peniruan tersebut hendaklah dengan acuan kita sendiri. Budaya kita, kasih sayang serta kepelbagaian etnik hendaklah dikekalkan dan dijadikan satu kelebihan kepada kita. Namun rakyat juga hendaklah disediakan agar menjadi satu Bangsa Malaysia yang bertamadun dan unggul. Majlis Belia Malaysia memberi sokongan sepenuhnya kepada usaha kerajaan dalam menangani dan membentuk dasar yang kukuh kepada rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Bertarikh : 4 Oktober 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »