MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kes Adik Daniel Iskandar : Beri Peluang Kedua Kepada Daniel & Didik Masyarakat Semak Fakta

Oleh : Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

Adik Daniel Iskandar menggemparkan Malaysia apabila tular video beliau diberikan ‘hukuman awal’ dengan dimandikan secara pengurusan jenazah kerana ditangkap atas dakwaan mencuri  tabung masjid baru-baru ini.

Sudah tentu jika terbukti bersalah perbuatan mencuri mahupun cubaan mencuri sesuatu perbuatan jenayah yang berdosa dan patut dihukum bagi yang sudah mencapai usia baligh dan mukallaf setelah disabitkan kesalahan. Namun yang dikesali ialah adik Daniel diberikan ‘hukuman awal’ oleh pihak tidak berautoriti namun sepatutnya beliau dihadapkan segera ke muka pengadilan untuk diadili dan diputuskan oleh pihak mahkamah sambil beliau diberikan hak pembelaan. Ia merupakan tauladan yang sangat tidak betul khususnya kepada generasi muda dan masyarakat bahawa masyarakat awam mempunyai ‘kuasa’ untuk menjatuhkan hukuman awal.

Tidak dinafikan masyarakat mempunyai peranan mendidik generasi muda termasuk menggunakan kaedah hukuman sebagai pendidikan sebagaimana adat tradisi namun ia mestilah menurut batasan dan tidak terlalu mengikut emosi. Apa yang dikhuatiri apabila dikuasai emosi marah maka akan berlaku hukuman melampaui batasan apatah lagi apabila dirakam dan menjadi tular dalam media sosial.

Penularan video beliau dimandikan secara jenazah juga sangat dikesali kerananya ianya sangat memberikan imej negatif dan mengundang pelbagai perspektif dan sangka buruk oleh masyarakat awam yang tidak mengetahui isu dan fakta sebenar kes sementelah segelintir masyarakat kita yang terlalu cepat menjatuhkan hukuman awal tanpa usul periksa dan meminta penjelasan terlebih dahulu. Sebab itulah Majlis Belia Malaysia (MBM) jarang memberikan komen segera terhadap sesuatu isu kecuali selepas mendapat fakta sebenar dan pandangan pakar berkenaan isu tersebut.

Generasi muda dan masyarakat perlu terus dididik untuk menyemak fakta isu dan tidak mudah memberikan komentar liar terutamanya di media-media sosial. Paling penting menyedarkan masyarakat tentang kesan perbuatan terburu-buru mereka itu akan mengundang fitnah dan kesan buruk yang tidak terjangka kepada sama ada kepada adik Daniel mahupun pihak yang menangkap dan memandikan adik Daniel secara ala jenazah. Kita yang tidak berada di tempat kejadian dan apatah lagi memahami latar belakang serta konteks kes maka lebih baik kita tidak celupar memberikan pelbagai komenter dan tuduhan kepada kedua-dua pihak.

Adik Daniel sudah pun diadili dan terbaru keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan beliau melakukan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dan dikhususkan di masjid sekaligus mengetepikan keputusan hukuman 10 hari penjara dan denda RM 4000.

Daniel perlu diberikan sokongan moral dan sosial dengan memberikan peluang kedua kepada beliau sementelah beliau masih muda dan punyai masa depan lebih baik jika dibimbing sebaiknya.

Kes seumpama adik Daniel ini merupakan sebahagian kecil daripada isu belia berisiko yang menjadi salah satu kelompok utama belia daripada 8 kelompok yang disenaraikan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035 untuk disantuni.

Setiap anak muda mempunyai hak iaitu potensi untuk diserlahkan dan jatidiri untuk diperkasakan. Belia berisko perlu dibimbing dan terus diberikan peluang kedua untuk mereka belajar, berlatih, bekerjaya, berkeluarga dan berkhidmat kepada masyarakat.

Kelompok belia berisiko perlu diberikan sokongan moral dan sosial oleh semua pihak sama ada pihak keluarga, sekolah mahupun masyarakat untuk mereka masuk semula berintegrasi sebaiknya ke dalam masyarakat. Mereka mungkin kuat ingin berubah secara dalaman selepas melakukan kesilapan dan kesalahan namun apabila tidak menerima sokongan luar atau sokongan persekitaran maka ia akan menemui kegagalan kecuali mereka mempunyai daya bangkit atau resilience yang tinggi. Kelompok seumpama ini tidak ramai namun majoritinya perlukan sokongan persekitaran kerana seperti kata pepatah Arab, manusia adalah anak kepada persekitaran. Konsep Pembangunan Belia Positif (PYD) menekankan tentang pentingnya aset dalaman (kekuatan dalaman) dan aset luaran (sokongan persekitaran) belia untuk menjadi belia yang seimbang dan harmonis.

Dalam konteks adik Daniel, pihak masjid dan persatuan belia setempat boleh memainkan signifikan untuk membina semula akhlak dan bakat kepimpinan untuk berjaya dalam hidup. Jika kena cara dan gayanya adik Daniel boleh bingkas bangkit dan menjadi ikon perubahan anak muda dan agen perubahan untuk dijadikan tauladan.

MBM pula sedang membidani penubuhan sebuah persatuan belia khusus dipimpin oleh sekumpulan anak-anak muda belia berisiko yang sudah melakukan transformasi diri yang digelar sebagai ‘Belia Bestari’ dan dalam masa yang sama bersemangat untuk memberikan sokongan moral, sosial dan platform kepada rakan-rakan seangkatan mereka yang ingin melakukan perubahan diri seperti lepasan Sekolah Henry Gurney, Sekolah Tunas Bakti mahupun banduan muda. Apabila persatuan ‘Belia Bestari’ dipimpin oleh mereka sendiri maka mereka lebih memahami keadaan mereka sekaligus mudah membantu rakan-rakan seangkatan yang ingin berubah selain peluang untuk mereka mengasah bakat kepimpinan, menyertai pelbagai peluang latihan TVET & kemahiran insaniah, membina kerjaya, berbakti kepada masyarakat dan peluang menyertai program-program anjuran MBM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. MBM sangat dekat dengan golongan ini!

Pengalaman penulis melawat anak-anak muda di Sekolah Hunrey Gurney dan Penjara Sungai Buloh melalui projek Riben Kuning mendapati kedua-dua institusi ini sebenarnya merupakan institusi yang mengajarkan erti kehidupan dan makna keinsanan sebenarnya. Ternyata penjara fizikal itu membebaskan penjara maknawi mereka yang menjadi mereka jauh lebih baik apabila masuk ke dalam masyarakat.

Mari berikan peluang kedua kepada adik Daniel dan belia berisiko!

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »