Makin lama makin banyak kekayaan negara diangkut ke negara asing. Sehingga kadangkala pekerja asing diihat lebih dihargai berbanding rakyat tempatan sendiri. Tetapi persoalanya sampai bila?
Kami akui memang tidak dinafikan yang kebanyakan pekerja asing adalah rajin. Semestinya mereka datang ke sini adalah niat untuk menyara kehidupan di kampung halaman mereka di kampung contohnya. Harus juga diingat, rakyat kita yang mencari rezeki di luar negara juga akan jadi rajin. Tidak perlu kita huraikan, masing-masing tahu jawapannya.
Walau bagaimanapun, kami melihatkan situasi sekarang ini di mana undang-undang buruh di Malaysia teramatlah kuno, kerana dilihat kurang melindungi kepentingan pekerja tempatan tetapi lebih menggalakkan FDI.
Expat masuk Malaysia tanpa ada kawalan, bayar gaji tinggi, insentif seperi di negara asal mereka (cuti bergaji, subsidi sekolah anak dan sebagainya).
Manakala yang pekerja asing berkemahiran rendah dibayar gaji murah di mana sama parasnya dengan gaji pekerja tempatan di Malaysia yang kita merasakan masih kecil tetapi semestinya untuk mereka lebih tinggi & “bernilai” apabila ditukarkan ke nilai matawang negara mereka.
Semuanya ini dilakukan tanpa kawalan.
Memang kami sendiri mengakui ada kalangan pekerja tempatan kalau buat satu-satu projek contohnya, orang lain pukul 8 sudah “terpacak” di tapak projek untuk memulakan kerja. Tetapi ada juga kalangan pekerja tempatan yang dilihat “lenggang-kangkung” di awal pagi, pukul 9 baru nak memulakan kerja. Tetapi tidak semuanya begitu.
Kita tidak boleh pukul rata semua pekerja tempatan begitu. Soal sikap adalah masalah individu.
Dan sampai bila budaya pemalas mahu dicampakkan bebannya kepada pekerja tempatan semata. Sampai bila? Sedangkan ramai lagi pekerja tempatan kita yang ada kepakaran dan kualitinya. Tetapi jikalau tidak diberikan peluang bagaimana mampu mereka menunjukkan potensi dan terus meningkatkan kemahiran diri daripada masa ke semasa?
Kita tidak boleh menuduh rakyat Malaysia terutamanya golongan buruh pemalas semata, tetapi hakikatnya gaji kerja buruh terlalu rendah. Tidak berbaloi dengan usaha yang ditaburkan.
Bukan gaji tinggi adalah penanda aras kejayaan. Walaupun, mereka mendapat gaji rendah tetapi kos sara hidup pun terkawal itupun sudah cukup baik sebenarnya buat mereka.
Ini bumi Malaysia, ini negara mereka. Mereka mahu keringat mereka lebih dihargai berbanding pekerja asing.
Cuba kalau kita hantar mereka ke USA, negara-negara blok Eropah untuk kerja buruh, petik buah-buahan di New Zealand, pencuci tandas di Britain, agak-agak apabila mereka pulang semula ke Malaysia berbaloi atau tidak?
Nah…itulah realitinya berlaku di kepada pekerja-pekerja asing Banglasia, Indonesia, dan lain-lain yang berpusu-pusu bekerja di Malaysia. Sebab mereka tahu, apabila mereka pulang, mereka akan jadi lebih “loaded”
Begitu juga kalangan ratusan ribu anak-anak muda lepasan SPM yang terbiar tiada arah tujunya. Masuk universiti tidak dapat, masuk kolej tidak diterima, menelaah teori semata bukan potensi yang ada dalam diri mereka. Mereka ini kami pasti ada kemahiran yang belum lagi berjaya dicungkil oleh mana-mana pihak untuk digilap. Apabila mereka terbiar, tiada pendapatan untuk kelangsungan hidup, mulalah terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Akhirnya siapa yang rugi?
Ini baru kita sentuh yang “drop-out”. Belum lagi lepasan institusi latihan kemahiran apatah lagi lepasan institusi pengajian tinggi.
`
Sayang sekali jika senario seperti ini dibiarkan berterusan.
Kami pasti jikalau daripada sekarang tidak dimulakan sepenuhnya usaha untuk menggunakan sumber kemahiran orang tempatan rakyat Malaysia, kami yakin dan percaya berita sebegini akan terus berkumandang untuk tempoh beberapa tahun daripada sekarang.
Kami kasihankan generasi esok.
Kerajaan bukan lagi BERGANTUNG kepada pekerja asing,
sebaliknya KETAGIHAN kepada pekerja asing.
RIZAN HASSAN
KETUA PENERANGAN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
10 Ogos 2015