MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kerajaan perlu buktikan benar-benar dengar rintihan, masalah orang muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuktikan bahawa mereka benar-benar mendengar suara belia dengan berusaha keras menunaikan ‘Iltizam Anak Muda’ seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berkata selain memperkasakan platform sedia ada seperti Majlis Perundingan Belia Negara dan Parlimen Belia, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak platform rasmi dan sah untuk belia menyalurkan suara mereka.

Katanya, kerajaan juga harus mendengar suara utama yang dituntut beliau iaitu peluang pekerjaan serta menghentikan konflik politik yang sempit dan merugikan.

“Mendengar suara adalah hak asasi belia yang harus dipenuhi kerajaan. Bukan sekadar mendengar, belia mahu isu mereka ditangani, diberikan peranan signifikan untuk sama-sama membangunkan negara, dibimbing oleh golongan dewasa dan bukan dianggap sebagai ancaman serta diberikan ruang untuk berkarya dan melakukan aktiviti.

“Mendengar suara belia bukan sekadar untuk meraih undi mereka tetapi untuk mempersiapkan masa depan berdasarkan suara dan aspirasi mereka.

“Kerajaan harus menjadi kerajaan yang mendengar seperti kerajaan Nabi Sulaiman yang turut mendengar suara dan rintihan semut kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata suara belia yang kritis harus diraikan namun mesti juga diseimbangkan dengan adab dan akhlak serta adab berbeza pandang.

“Kerajaan harus terus memberikan platform untuk mereka bersuara dengan dilantik dalam Dewan Negara, majlis kerajaan tempatan dan lembaga pembuat keputusan,” katanya.

Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif dengan Berita Harian (BH) yang disiarkan hari ini berkata, idea serta pandangan orang muda lebih serasi dengan teknologi terkini amat dituntut ketika negara semakin menuju era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Perdana Menteri turut menyifatkan ruang untuk kelompok pewaris bangsa ini menyalurkan pandangan perlu ada, sebagai pengimbang kepada pengalaman orang lama.

“Kita perlu dengar (suara) orang yang akan mewarisi negara kita ini. Mereka boleh suarakan pendapat dan yang baik kita terima. Kita kena dengar dia (orang muda), jadi kita bagi suara kepada dia,” katanya.

Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/635538/kerajaan-perlu-buktikan-benar-benar-dengar-rintihan-masalah-orang

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »