TUARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan pelantikan seorang Senator bagi mewakili belia dalam Dewan Negara.
Beliau berkata, pelantikan itu sejajar dengan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negara.
“Saya bincang dengan Menteri Belia dan Sukan bahawa pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti didengari oleh kerajaan .
“Pandangan belia pastinya dihargai kerajaan kerana belia adalah masa depan negara.
“Untuk itu, bagi mendengar suara belia, pandangan belia, maka saya umumkan untuk melantik seorang Senator bagi mewakili belia di Dewan Negara.
“Saya percaya dengan adanya wakil belia di Dewan Negara, suara belia akan kita didengari secara terus dari wakil belia kerana masa depan negara bergantung kepada warga belia,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk dikongsikan bersama pertubuhan belia yang lain bagi melaksanakan aktiviti masing-masing.
“Banyak lagi program yang diatur dan dirancang termasuk kempen dan pelbagai program lain dan saya dimaklumkan dari segi pentadbiran sudah diberikan peruntukan sebanyak RM1 juta tapi untuk aktiviti termasuk pertubuhan belia lain di bawah MBM tiada.
“Untuk itu saya umumkan peruntukan RM1 juta lagi kepada MBM untuk berkongsi dengan pertubuhan belia yang lain,” katanya.
Artikel penuh :