Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius akan hala tuju pembangunan dan pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang berikutan ura-ura sebuah syarikat swasta mengambil alih pengendalian LTASAAS sekaligus mengeluarkannya daripada keseluruhan sistem rangkaian lapangan terbang Malaysia Aiports Holdings Berhad (MAHB). Ini adalah kerana isu ini melibatkan kepentingan rakyat, negara dan generasi masa depan.
MBM berpendirian bahawa Kerajaan harus terus tegas dan jelas meletakkan noktah penamat terhadap sebarang usaha menjual mana-mana hartanah lapangan terbang kepada mana-mana pihak. Ini adalah kerana berdasarkan beberapa hujah rasional dan meyakinkan pihak MAHB dan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) bahawa pengambilalihan akan melibatkan terjejasnya kepentingan awam rakyat; melibatkan kerosakan kekal, memberikan impak negatif kepada MAHB dan MAG yang berpaksikan pemilikan rakyat; membantutkan usaha KLIA sebagai hab penerbangan global; mengekang potensi Malaysia sebagai hab aeroangkasa dan MRO (maintenance, repair & overhaul); dan merencatkan agenda sosial untuk manfaat rakyat terbanyak.
MBM berpandangan bahawa amat wajar Kerajaan memberikan peluang seluas-luasnya kepada Pelan “Subang Airport Regeneration” memandangkan komitmen tinggi dan kesediaan yang telah pun diiltizamkan oleh MAHB untuk melaksanakan pelan ini sekiranya diluluskan oleh Kerajaan.
MBM tegas menyatakan pendirian ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan paling penting kepentingan generasi masa hadapan yang sepatutnya tidak dikompromi dan diperjudikan demi keuntungan hanya segelintir kecil kelompok elit. Biarlah rakyat dan generasi masa hadapan menikmati secara bersama kemakmuran ekonomi ini selaras dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
JUFITRI BIN JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia(MBM)
Tarikh: 28 Jun 2021