MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kepimpinan wanita, di mana ruang dan peluang?

BELANJAWAN 2022 meletakkan agenda ‘woman onboard’ secara dasarnya amat membanggakan kaum wanita dan masyarakat Malaysia amnya.

Walau bagaimanapun, penelitian terperinci berkaitan agenda ini memaparkan sisi perjuangan yang masih belum selesai dan masih jauh lagi dari matlamat yang hendak dicapai. Perjuangan ini bukan saja menjadi tanggung jawab kaum wanita, tetapi semua pihak yang ingin melihat generasi masa depan lebih terbela.

Secara makronya, initiatif pihak kerajaan ini sangat menarik, namun apalah yang hendak dibanggakan mempunyai jawatan tinggi dan memenuhi 30 peratus kuota kepimpinan wanita yang diperuntukkan kerajaan tetapi ekosistem kerja dan persepsi masyarakat tetap tidak berubah?

Penulis tidak menafikan senario masyarakat Malaysia berkaitan peranan gender sudah mula ada perubahan tetapi sangat perlahan sedangkan keperluan wanita berkerjaya untuk lebih terkehadapan sangat mendesak.

Kenyataan bahawa peratusan wanita yang bertindak selaku ketua keluarga, tidak kira sama ada berkahwin atau pun tidak semakin meningkat tidak boleh dinafikan lagi.

Namun suasana yang diperlukan untuk mereka menyumbang dengan lebih progresif masih jauh untuk dicapai.

Kata-kata seperti, pandai-pandailah mengurus masa, orang lain boleh kenapa anda tidak? Masih kerap menghantui mereka apabila terpaksa mengurus hal anak dan keluarga dalam masa yang sama perlu mengekalkan prestasi serta harapan majikan terhadap komitmen mereka masih berterusan kedengaran.

Senario di atas menyebabkan wanita yang berpotensi, berkemahiran sering berada dalam dilema. Malah dan ada yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja memberi tumpuan melakukan kerja-kerja domestik ataupun pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan dan potensi mereka.

Tanpa menafikan menjalankan tanggung jawab selaku suri rumah adalah mencabar serta satu pekerjaan yang murni, apa yang penulis ingin ketengahkan adalah kita telah kehilangan tenaga mahir berpotensi tinggi apabila mereka membuat keputusan sedemikian.

Keadaan ini diterjemahkan dengan baik oleh sebuah filem Korea bertajuk Kim Ji Young, Born 1982 yang menggambarkan diskriminasi gender, gangguan seksual serta sistem patriaki yang sangat nyata hingga menjejaskan kesihatan mental serta peluang berkerjaya watak utama cerita itu.

Walaupun ia memaparkan sokongan padu yang diberikan oleh suami dan rakan sekerja wanita yang lain, secara umumnya sistem patriaki di negara itu sangat mencengkam dan tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku di Malaysia serta negara Asia yang lain.

Abad ke-21 dengan pandemik yang berlarutan dan tiada kepastian di manakah noktah serta pelbagai bencana alam yang berlaku, kesemuanya ini tidak menjanjikan suatu perubahan sistem yang ketara berkaitan wanita yang berkerja.

Banyak kajian berkaitan ‘work-life balance’ dalam kalangan wanita bekerja. Antara nama yang banyak menerbitkan berkaitan isu ini adalah mantan Profesor di Universiti Islam Antarabangsa, Dr Noraini Md Nor dan juga Prof Aminah mantan Profesor di Universiti Putra Malaysia, dua nama yang cukup banyak menulis dan melakukan kajian berkaitan isu ini.

Namun hakikat yang pasti adalah dapatan kajian ini tidak akan memberikan impak yang signifikan sekiranya ia tidak diambil serius oleh pembuat dasar semasa. Ia akan menjadi sia-sia tanpa sebarang intervensi yang menyeluruh terhadap sistem bekerja yang ada.

Kenyataan oleh Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail, Presiden Akademi Sains Malaysia, berkaitan keperluan menyediakan ekosistem yang kondusif kepada wanita bekerja menunjukkan perjuangan untuk mencapai kesaksamaan gender ataupun ekuiti masih berliku.

Dengan kenyataan bahawa 15.7 juta daripada 32.5 juta penduduk negara ini adalah terdiri daripada kaum wanita, iaitu hampir separuh jumlah populasi rakyat Malaysia adalah wanita, peningkatan jumlah wanita yang menguasai politik sebanyak 0.2 peratus dalam tempoh dua tahun tidak memberikan makna yang signifikan.

Selaras dengan teras kelima “Sustainable Development Goal’ Index jurang gender 2020 yang diambil dari World Economic Forum meletakkan Malaysia di tangga ke-104 berbanding 153 negara lain dan negara jiran, iaitu Singapura di tangga ke-54 manakala Indonesia berada di tangga ke-85 menunjukkan kenyataan pahit untuk ditelan.

Walau bagaimanapun dari segi masyarakat Asia, Malaysia masih berada di kedudukan yang lebih baik berbanding Cina dan Jepun.

Dalam konteks sama, dunia akademik yang majoritinya adalah wanita masih ketandusan pemimpin wanita.

Keberadaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selaku Menteri yang menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi diharap dapat merubah senario ini.

Ini kerana dengan jumlah 20 universiti awam adalah mustahil hanya satu kepimpinan wanita iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang layak menerajui seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini yang mana tiga hingga empat universiti utama di Malaysia diterajui oleh kepimpinan wanita dan mereka jelas melonjakkan nama Malaysia di bawah kepimpinan mereka.

Penulis mengharapkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Noraini, penelitian yang lebih serius boleh dilakukan bagi mengenal pasti potensi serta keperluan kepimpinan wanita dalam konteks pendidikan tinggi negara.

Melihat senario, keperluan untuk menyediakan pelapis kepimpinan wanita adalah sesuatu yang kritikal. Ini boleh dimulakan dari awal lagi.

Majlis Belia Malaysia (MBM) adalah platform terbaik untuk mengenengahkan kepimpinan belia wanita sebagai pelapis kepada kepimpinan wanita negara.

Namun persepsi berkaitan kepimpinan wanita perlu ditambah baik. Menurut mantan Penolong Setiausaha Agung MBM ‘Atikah Syairah Shaharuddin, cabaran yang harus dihadapi oleh pemimpinan wanita adalah mereka yang lantang bersuara akan dilihat sebagai agresif dan nilai Melayu Islam menolak unsur agresif.

Imej yang digambarkan ini secara tidak langsung akan mengekang mereka untuk terus menyuarakan pandangan mereka secara konsisten.

Domain kepimpinan yang juga sering diukur melalui kebolehupayaan orator menyebabkan penilaian terhadap kualiti kepimpinan kerap kali salah dinilai dan ini menyebabkan wanita yang memberi fokus kepada kerja dan kurang berkata-kata akan kelihatan lemah dari segi kepimpinan sedangkan pemimpin yang berkualiti mencakupi pelbagai aspek kepimpinan selain dari keupayaan pengucapan awam.

Isu yang paling kritikal dalam kepimpinan wanita adalah mereka sering ‘diperlekehkan’ oleh pengikut wanita dan pemimpin wanita yang lain. Situasi ini seumpama ‘api dalam sekam’ seharusnya wanita lebih memahami dan memberi sokongan kepada kepimpinan wanita yang menerajui sesuatu organisasi, walau bagaimanapun apa yang berlaku adalah wanita jugalah yang menjadi punca kepada kesalahfahaman terhadap kepimpinan wanita yang ada.

Pada pandangan penulis, isu ini perlu ditambah baik sama ada dari segi kredibiliti pemimpin wanita itu sendiri mahupun pengikut serta kepimpinan wanita yang lain.

Sokongan serta kefahaman perlu ada bagi mewujudkan ekosistem kepimpinan wanita yang lebih mantap.

Untuk itu MBM seharusnya menjadi contoh bagi mengangkat kepimpinan wanita ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli gabungan MBM, Malaysian Association of Youth Club (MAYC) adalah contoh persatuan yang banyak menyumbang kepada kepimpinan dan ahli wanita di peringkat MBM.

Bagaimanapun, sepanjang penubuhan majlis ini, boleh dikira jumlah kepimpinan wanita yang dapat dilahirkan dan antaranya ialah YB Mas Ermiyati yang bermula daripada Belia 4B daerah dan pernah tercalon sebagai Ketua Menteri Melaka pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Saudari Wan Salawati dan Asfalinda sekadar menyebut beberapa nama, namun di manakah mereka ketika ini?

Adakah akan ada perubahan pada pertandingan yang akan datang? Mari sama-sama kita nantikan dan doakan agar berlaku perubahan landskap kepimpinan wanita ke arah yang lebih progresif dan dinamik bermula di peringkat akar umbi.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) dan Profesor Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Artikel penuh :

https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/02/809251/kepimpinan-wanita-di-mana-ruang-dan-peluang?fbclid=IwAR0skXp3VeIxCUv48ibMU1GbWeql5JL8YMYB7FtZe-WZUnSCmoeCWxTm6yE#.YgYUq9T9_l0.whatsapp

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »