SEPANG 23 April – Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari menyeru kepimpinan pertubuhan belia di negara ini khususnya Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya menggunakan platform Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 dalam menarik lebih ramai anak muda menyertai pertubuhan belia.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 di Banghuris Homestay di sini.
“KIBAR bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya dirangka dengan kesinambungan berterusan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Malah, setiap pelaksanaan program itu akan disertai proses pemantauan dan penilaian bagi memastikan golongan belia menerima impaknya secara konsisten.”
“Kita akan rangkul semula peserta-peserta ini untuk bersama dalam setiap aktiviti dan penyertaan belia-belia ini dalam pertubuhan belia, perkara berkenaan adalah yang paling penting,” katanya.
Jelas Dr Mohammed Taufiq lagi, beliau mahu memastikan suara dan pandangan anak muda terus diberi perhatian, bukan sahaja di peringkat kementerian, malah hingga ke peringkat atasan.
KIBAR 2026 merupakan inisiatif baharu KBS yang dirangka melalui pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi memperkasa golongan belia akar umbi, khususnya belia tidak berpersatuan.
Program itu akan dilaksanakan melalui 17 siri program di 17 lokasi seluruh negara, melibatkan satu siri di setiap negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta dua siri masing-masing di Sabah dan Sarawak.
Pendekatan tersebut diambil bagi memastikan capaian program yang menyeluruh, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
Hadir sama – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Rahimi Ismail; Presiden MBM, Sdr. Izzat Afifi Hj Abdul Hamid; Presiden Majlis Belia Negeri Selangor, Dato’ Imran Tamrin; pengurusan tertinggi KBS; kepimpinan belia Selangor serta pelatih IKBN dan Politeknik.




































































