KENYATAAN MEDIA
SUKAN SEA DAN MOMENTS OF UNITY
Walaupun acara pembukaan rasmi Sukan SEA edisi ke-29 ini akan dilangsungkan pada 19 Ogos 2017 di Stadium Bukit Jalil, namun kemeriahan dan kehangatannya sudah dirasakan. Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat penganjuran pada kali ini seiring dengan nyalarasa YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk mempertingkatkan dan mempelbagaikan Moments Of Unity dalam masyarakat.
Hari ini telah memasuki hari ketiga pertandingan acara-acara di dalam Sukan SEA kali ke-29 di Kuala Lumpur. Hari ini juga dijangka akan mengalungkan pingat emas pertama di temasya dwi tahunan yang akan berakhir pada 30 Ogos 2017
Bagi pihak MBM mewakili belia Malaysia keseluruhannya kami mengucapkan selamat datang dan selamat bertarung kepada seluruh kontingen negara-negara ASEAN ke temasya kali ini.
Penganjuran Sukan SEA kali ini merupakan manifestasi kerajaan untuk mengangkat kesediaan bangsa Malaysia menuju negara maju. Kemajuan yang dicitakan itu bermula dengan kesediaan membina perasaan yakin terhadap kemampuan diri dan kesediaan untuk mengharungi cabaran dan persaingan.
Kemajuan suatu bangsa juga dibina melalui budaya kerja yang tinggi dan cemerlang oleh masyarakatnya. Penganjuran Sukan SEA memerlukan sejumlah puluhan ribu sukarelawan dalam menjayakan temasya ini. Kesempatan ini juga menjadi asas kepada pendidikan budaya kerja sukarela melalui pendedahan di peringkat antarabangsa.
Usaha mempersiapkan kemudahan kejohanan sukan agar mencapai standart tertinggi sukan menguji kemampuan agensi pengurusan sukan negara. Semoga penganjuran acara di dalam dan di luar dewan kali ini sempurna dan berjalan lancar.
Sukan SEA merupakan simbolik kepada penyatuan seluruh warga ASEAN dalam meraikan semangat hidup berjiran dan misi membangun rantau ini secara bersama. Sukan SEA mempunyai pengertian yang mendalam terhadap asas pemahaman masyarakat terhadap kewujudan ASEAN dan memperkuat pemahaman terhadap idea ASEAN KOMUNITI.
MBM juga mengambil kesempatan ini atas dasar komitmen #BangkitBersama menyeru seluruh masyarakat Malaysia setia menyemarakkan penganjuran pada kali ini. Menjadi tuan rumah bermaksud seluruh warga Malaysia menyediakan perkhidmatan dan layanan terbaik sebagai rakyat yang berbudaya luhur.
Akhirnya MBM mengucapkan semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan pada kali ini. Selamat maju jaya kepada kontinjen negara dan semoga berjaya melepasi sasaran yang diletakkan.
Sekian, terima kasih
AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 16 Ogos 2017
Tel : (013) 373 4934
E-mel : mbmsua@gmail.com