MAJLIS BELIA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA : MESYUARAT STRATEGI NGO SERANTAU : MENANGANI ISU ROHINGYA

 

KENYATAAN MEDIA
21 SEPTEMBER 2017

MESYUARAT STRATEGI NGO SERANTAU :

MENANGANI ISU ROHINGYA

 

Satu sidang mesyuarat membincangkan strategi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO-NGO) rantau ASEAN dan antarabangsa untuk menangani isu Rohingya akan diadakan pada 2 hingga 3 Oktober 2017 bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Sidang mesyuarat ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC).

Tujuan utama sidang ini adalah untuk merangka strategi dan plan bertindak bagi menangani isu etnik Rohingya yang ditindas oleh kerajaan Myanmar.

Kami memutuskan untuk mengadakan suatu sinergi antara NGO-NGO nasional, serantau dan antarabangsa bagi menangani isu Rohingya yang sudah berlarutan lebih 6 dekad.

Sidang ini akan disertai 100 NGO dalam negara dan 20 NGO serantau.

Penyertaan juga akan dijemput dari agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara Islam (OIC), Asian Youth Council (AYC) dan ASEAN.

Antara agenda sidang tersebut meliputi kemaskini maklumat dan perkembangan semasa di Arakan dan Bangladesh, analisis krisis di Myanmar, pembentangan pengalaman NGO kemanusiaan dan advokasi dalam menangani isu Rohingya.

Dalam sidang ini, wakil organisasi akan membincangkan pelbagai aspek dan strategi tindakan seperti usaha melobi, misi kemanusiaan, mobilisasi massa, kempen media, tekanan antarabangsa serta tindakan undang-undang.

Dijangka sebuah kerangka pelan bertindak serantau  akan dirumuskan yang akan menggariskan peranan setiap NGO untuk mengusaha penyelesaian yang tuntas.

Kami berpendapat bahawa keadaan terkini di Arakan, akibat operasi ketenteraan Myanmar sejak 25 Ogos 2017 lalu, adalah sangat parah.

Kemusnahan kediaman dan perkampungan telah mengakibatkan lebih 500,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Laporan tidak rasmi menyatakan lebih 30,000 orang awam Rohingya telah terbunuh. Setiap hari dianggar 20,000 orang pelarian Rohingya menyeberangi Sungai Naf untuk ke Bangladesh dan ratusan pula mati dalam Sungai Naf selain ribuan terputus makanan dan rawatan.

Malangnya sehingga kini, agensi-agensi antarabangsa seperti PBB, OIC dan ASEAN gagal bertindak secara konkrit untuk menghentikan ‘genocide’ di Arakan Myanmar.

 

Sidang mesyuarat ini adalah sebagai respon kepada situasi yang sangat parah yang memerlukan tindakan bersungguh dari masyarakat sivil.

Kami berpendirian, peranan NGO amat penting untuk menyumbang kepada penyelesaian isu Rohingya ini. Sinergi secara bersepadu antara NGO diharap akan menyumbang kepada proses menyelesaikan penindasan Myanmar ke atas minoriti Rohingya.

Terima kasih.

 

Pengerusi Bersama :

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Dr Mohamed Maliki Mohamad Rapiee
Pengarah Pusat Belia Antarabangsa

Mua’amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin
Presiden Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »