Majlis Belia Malaysia (MBM) menghadiri dan menyambut baik pelancaran Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan atau Malaysia Future Leader School (MFLS) pada 3 Mei yang lepas di Universiti Malaya oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Idea yang digagaskan sendiri oleh Tun Dr Mahathir ini diyakini mampu melahirkan lebih ramai kepimpinan pelapis muda yang mempunyai nilai dan karakter bangsa Malaysia yang unggul.
Namun begitu suka MBM mempertegas dan mencadangkan beberapa perkara bagi memantapkan lagi MFLS bagi mencapai matlamatnya iaitu:
1. MFLS wajar menggunakan kedua dua nama iaitu Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan Malaysia dan Malaysia Future Leader School sebagai kesungguhan Kerajaan mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris di samping sebagai satu manifestasi jati diri bahasa;
2. MFLS diharap bukan sahaja mampu melahirkan pemimpin politik Negara dan korporat tetapi juga melahirkan kepimpinan belia dan masyarakat; dan
3. MFLS wajar memberikan slot khas kepada pertubuhan belia dan MBM bagi memperkenalkan pergerakan belia sebagai salah satu platform susulan untuk mengasah bakat kepimpinan mereka apabila tamat latihan kelak.
MBM mengalu-alukan penubuhan MFLS sambil menghulurkan kerjasama bagi sama-sama menjayakan agenda penting masa depan negara ini.
Tahniah kepada YB Syed Saddiq dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia sambil MBM merakamkan ucapan terima kasih kerana melibatkan MBM sewaktu peringkat perancangan awal MFLS.
JUFITRI BIN JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 6 Mei 2019