KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA
“MBM MENYOKONG USAHA DALAM MEMAJUKAN EKONOMI RAKYAT UNTUK GENERASI TN50 PADA BAJET 2018”
Majlis Belia Malaysia (MBM) meyambut baik Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang bertemakan “Memakmurkan Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahterakan Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50” berdasarkan lapan tunjang bajet sepertimana yang dizahirkan oleh Perdana Menteri.
MBM berpendapat Bajet 2018 yang dibentangkan ini merupakan satu pakej tawaran pelbagai yang boleh direbut oleh golongan muda bagi memenuhi pasaran ekonomi semasa Negara. MBM optimis peruntukan keseluruhan berjumlah RM280.25 billion ringgit mampu diterjemah dalam memenuhi kehendak rakyat. Ia memperkukuh keperluan domestik melalui inisiatif yang diberikan oleh kerajaan demi meneruskan pertumbuhan ekonomi Negara.
Pertama : MBM menyambut baik usaha kerajaan dalam memartabatkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pengumuman RM4.9 bilion untuk Pelan Induk TVET Malaysia. Ianya selari dengan cadangan MBM di dalam Majlis Konsultasi Bajet agar peruntukan bagi pendidikan TVET ditingkatkan.
Bagi MBM, perincian di dalam Pelan Induk TVET ini perlu dilakukan agar peruntukan yang diberikan dapat mencapai apa yang diharapkan kerajaan melalui generasi TVET ini dimana mereka adalah kelompok penting dalam menjadi tenaga kerja mahir Negara di dalam Industri 4.0 yang bakal menjelma. MBM melalui 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K) terus menyahut cabaran ini dalam mengembeling tenaga melahirkan pelajar-pelajar TVET di seluruh Negara.
Kedua : Golongan belia perlu bijak merebut dan mencuri peluang yang ditawarkan pihak kerajaan dalam membantu usahawan mikro. Melalui peruntukan RM500 juta kepada TEKUN dan RM200 juta kepada kepada Amanah Ikhtiar Malaysia, ianya membuka peluang yang sangat luas kepada golongan muda yang mempunyai minat dalam perniagaan.
Ketiga : MBM sangat menyambut baik peruntukan pendidikan untuk generasi TN50 sebanyak RM250 juta dengan menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pendidikan merupakan elemen paling penting dalam perkembangan sesebuah masyarakat. Bagi membina sebuah masyarakat yang hebat seperti yang diaspirasikan di dalam TN50, pembudayaan pendidikan bercirikan sains dan teknologi serta pintar harus menjadi usaha utama kerajaan selain dari menyerapkan nilai-nilai murni supaya keseimbangan dapat dijalinkan antara pendidikan dan agenda social Negara.
Keempat : MBM memandang memandang serius gejala sosial yang semakin membimbangkan didalam masyarakat. Usaha kerajaan dalam memperuntukkan geran sempadan sebanyak RM50 juta bagi membiayai social enterprise dan NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah kemasyarakatan harian serta cabaran sosial secara inovatif yang membantu rakyat amat bertepatan pada waktunya.
MBM sebagai badan induk pertubuhan belia Malaysia sentiasa bersedia dalam bersama-sama kerajaan dalam menangani agenda sosial yang semakin memberi ancaman kepada masyarakat ketika ini.
Kelima: Bajet 2018 juga menyaksikan kerajaan melalui usaha dalam meringankan beban rakyat dalam proses membeli rumah dengan memberi pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik. Dalam masa yang sama, rumah-rumah bantuan kerajaan juga ditambah melalui agensi-agensi yang terlibat.
MBM juga menyambut baik usaha kerajaan dalam meringankan beban generasi muda dengan memberi pengecualian cukai ke atas sewaan sebanyak 50% bagi sewaan sehingga RM2,000. Usaha-usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu belia yang berhasrat untuk memiliki rumah dan mencari kediaman untuk memulakan kehidupan terutama kepada yang baru memulakan pekerjaan.
Keenam : Dari sudut berbeza, MBM melihat Bajet 2018 adalah satu rancangan kewangan yang sistematik dengan pengagihan kekayaan Negara yang sama rata antara setiap negeri, golongan, sektor dan banyak lagi. Usaha ini harus dipuji selaras dengan perkembangan ekonomi pada separuh tahun pertama 2017, yang mencatatkan satu pertumbuhan yang sungguh memberangsangkan pada kadar 5.7 peratus.
Harapan MBM adalah agar setiap agihan yang diberikan tiada sebarang ketirisan berlaku dan mesti sampai ke golongan sasaran. Mewujudkan satu pasukan pemantau dikalangan NGO mungkin perlu dipertimbangkan dalam memastikan pengagihan dapat dibuat dengan kaedah yang telus.
Akhirnya MBM menyambut baik Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang menyatakan komitmen pembangunan bersifat inklusif dan bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, MBM bercadang untuk membuat rayuan dan semakan untuk belanjawan pembangunan belia Malaysia. MBM optimis bahawa gandingan antara penyataan hasrat kerajaan melalui Bajet 2018 dan dokongan agensi pelaksana serta organisasi massa mampu menatijahkan kesan terbaik.
MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN
Presiden
Majlis Belia Malaysia