KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA
MALAYSIA MEMILIH DI PILIHAN RAYA UMUM (PRU) KE-14
Akhirnya teka-teki tarikh pembubaran Dewan Rakyat yang membawa kepada tamatnya tempoh mandat pemerintahan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat 5 tahun dahulu telah diketahui sebentar tadi.
YAB Perdana Menteri dalam kenyataan rasmi semasa mengumumkan pembubaran yang berkuatkuasa esok telah memberikan jaminan bahawa demokrasi berparlimen di negara ini akan terus dipelihara dan dipertahan berdasarkan prinsip yang telah disepakati berteraskan Rukun Negara.
Majlis Belia Malaysia (MBM) amat menyanjung tinggi perkara ini demi memastikan keharmonian hidup bernegara terus diutamakan. Negara akan terus utuh dengan kukuhnya institusi-institusi yang menjadi tiang-tiang seri kenegaraan seperti institusi raja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kepolisan dan sebagainya.
MBM amat meyakini SPR sebagai institusi yang diamanah bagi menguruskan pilihan raya di negara ini sejak sekian lama mampu melakukan yang terbaik. Keunikan pilihan raya di negara ini adalah partisipasi rakyat sebagai pelaksana utama proses pilihan raya dan SPR sebagai penyedia fasiliti tersebut. Malah MBM juga turut terlibat sebagai Pemerhati Tempatan buat sekian kali pada PRU ke-14 ini.
MBM amat mendokong usaha ke arah kematangan berpolitik di negara ini kerana pilihan raya yang unggul juga menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat. Parti-parti yang bertarung, calon-calon yang bertanding, jentera parti yang bergelumang perlu mematuhi peraturan pilihan raya dan menunjukkan sikap terpuji dan bertanggungjawab. Dunia memerhatikan kita sepanjang tempoh “Malaysia Memilih” di PRU ke-14 ini.
Bagi maksud tersebut MBM juga amat meraikan segala bentuk kempen politik yang kreatif dan luar kebiasaan dalam menarik sokongan dan meyakinkan pengundi. Manifesto, tawaran serta janji-janji, poster dan program penerangan pelbagai media yang diatur, namun keghairahan berkempen perlulah berdasarkan kepada fakta dan kebenaran bukan cuma keghairahan mengekal atau merampas kekuasaan.
PRU14 menjadi petunjuk mentaliti rakyat Malaysia yang semakin bijak membuat pilihan dan menilai pendekatan parti bertanding untuk memenangi hati pengundi. Malah ia juga petunjuk kepada perubahan cara berfikir kesan pembangunan yang telah dinikmati dan keinginan untuk terus maju.
Akhirnya, MBM mengucapkan selamat bertanding kepada semua parti dan calon yang menawarkan diri. Kepada semua rakyat Malaysia yang akan memilih, selamat melaksanakan pesta demokrasi dan pilihlah untuk mengekalkan keamanan, pembangunan dan kejayaan negara untuk masa depan kita.
Kepada anak muda negara dan pengundi muda marilah kita tunaikan tanggungjawab ini sebaiknya kerana kitalah masa depan negara.
AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 6 April 2018
Tel : (013) 3734934
Emel : mbmsua@gmail.com