MAJLIS BELIA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA : MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) MENYOKONG SUKARELAWAN AKTIF DIBERI CUTI TANPA REKOD BERSYARAT

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) MENYOKONG SUKARELAWAN AKTIF DIBERI CUTI TANPA REKOD BERSYARAT

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik dan menyokong saranan Yayasan Salam Malaysia supaya kerajaan membenarkan majikan memberi cuti tanpa rekod bersyarat kepada kakitangan yang terlibat aktif dengan aktiviti kesukarelaan.

Kesukarelaan merupakan aktiviti murni yang dilakukan tanpa mengira sempadan negara, bangsa, warna kulit dan pegangan agama. Semangat kesukarelaan perlu diterapkan sebagai budaya dan gaya hidup setiap rakyat Malaysia. Belia yang telah didedahkan dengan budaya kesukarelaan akan dapat menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi dalam pekerjaan justeru menyumbang kepada kemajuan institusi.

Disinilah fungsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MBM dalam menyediakan kumpulan sukarelawan bagi menyokong dan menjadi third voice kepada usaha kerajaan. MBM melalui Malaysian Youth Volunteer Community (MyVOC) mempunyai sukarelawan mengikut bidang kemahiran yang mana pemberian Cuti Tanpa Rekod kepada golongan berkemahiran dan profesional ini amatlah penting dalam mempastikan kerja lapangan dapat dijalankan dengan cekap dan teratur.

MBM juga pernah mengusulkan hasrat ini kepada pihak kerajaan melalui Majlis Perundingan Belia Negara agar majikan memberi cuti tanpa rekod kepada sukarelawan berkemahiran dalam bidang masing-masing untuk turut memberi komitmen semasa bencana.

Justeru, cuti bersyarat dan kerjasama majikan dalam hal ini adalah penting supaya sukarelawan berkemahiran dalam bidang masing-masing dapat turun ke lapangan dengan semangat yang tinggi disamping memberi motivasi kepada mangsa yang terlibat untuk pulih. MBM melihat penglibatan sukarelawan dengan NGO berdaftar akan dapat meraih kepercayaan majikan untuk memberikan cuti.

Untuk itu, MBM akan terus bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan dalam mempergiatkan gerakan kesukarelaan atas kesedaran akan kepentingannya bukan sahaja di dalam negara, malah dapat membantu dalam menyumbang demi kemakmuran sejagat.

Sekian, terima kasih.

AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 5 Januari 2018
Tel : (013) 373 4934
Emel : mbmsua@gmail.com

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »