KENYATAAN MEDIA
ISU PENIPUAN PENGAMBILAN PELAJAR KEMAHIRAN DAN PENGGUNAAN NAMA DAN LOGO PROGRAM 1B1K-MBM & NAMA DAN LOGO MBM
Majlis Belia Malaysia (MBM) adalah sebuah organisasi induk gerakan belia di Malaysia sejak tahun 1948. Sebanyak 39 badan pertubuhan belia terbesar di Malaysia bernaung di bawah MBM dari kategori berasaskan agama dan bangsa, gerakan pelajar, badan beruniform, ekonomi dan sosial serta majlis belia negeri-negeri. Teras utama gerakan MBM dan badan gabungannya ialah Kepimpinan, Kesukarelaan dan Keusahawanan. Di bawah teras Keusahawanan, terdapat dua fokus iaitu pendidikan dan kemahiran untuk para belia.
Sejak 2010, MBM telah memperkenalkan Program Satu Belia Satu Kemahiran (1B1K-MBM) yang bertujuan untuk membantu golongan belia tercicir, belia bersekolah, belia berisiko dan belia bekerjaya untuk mendapatkan peluang kedua melalui latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).
Semenjak 2010 hingga sekarang, program ini mendapat sambutan hangat di kalangan kumpulan sasar. Pendekatan MBM menerusi jaringan badan gabungan telah berjaya menjadikan Program 1B1K-MBM sebagai platform kepada kumpulan sasar untuk bergantung harap mendapatkan latihan TVET. Pada Mei 2016, telah direkodkan sebanyak 4,976 orang belia telah dibantu mendapatkan latihan TVET sama ada di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) mahupun di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).
Namun begitu, sejak 2015 hingga hari ini, MBM telah berdepan dengan banyak isu dan cabaran yang membabitkan gerakan Program 1B1K-MBM ini. Namun semuanya mampu ditangani menerusi advokasi dan meja rundingan kecuali isu berkenaan PENIPUAN PENGAMBILAN PELAJAR DAN PENGGUNAAN NAMA DAN LOGO PROGRAM 1B1K-MBM & NAMA DAN LOGO MBM.
Kesan daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab adalah seperti membuat hebahan pengambilan pelajar menerusi media sosial dengan menggunakan nama Program Satu Belia Satu Kemahiran atau 1B1K atau 1Belia 1Kemahiran seperti yang jelas mengelirukan dan menipu bakal pelajar dan ibubapa seperti:
- Program adalah dari Kerajaan Malaysia menerusi kementerian tertentu dan jaminan 100% bantuan biasiswa serta pinjaman;
- Bahan bercetak (surat tawaran/kertas promosi/dan lain-lain) menggunakan nama MBM dan logo Program 1B1K serta logo-logo kementerian, jabatan dan agensi kerajaan;
- Mengambil wang deposit bagi tujuan tempahan tempat belajar dan tempahan kuota pinjaman;
- Menjanjikan penempatan latihan selepas mengambil wang deposit tanpa pengetahuan MBM dan pusat latihan yang bekerjasama dengan MBM.
Pada masa sama, terdapat juga pihak tertentu yang menawarkan projek geran latihan dengan amaun tertentu kononnya Program 1B1K-MBM akan mendanai institusi-institusi yang sedia berkolaborasi dengan MBM. Namun, syarat awal yang perlu dipatuhi ialah institusi yang berminat perlulah membayar wang pendahuluan daftar projek yang bernilai puluhan ribu atau ratusan ribu ringgit.
Untuk itu, MBM menafikan sekeras-kerasnya penglibatan MBM dalam hal-hal yang dinyatakan di atas. Gerakan Program 1B1K-MBM hanyalah sebagai platform membantu menyalurkan pelajar yang inginkan peluang kedua bangkit dari masa lalu dengan menyertai kursus-kursus yang ditawarkan oleh Rakan Strategik 1B1K-MBM. Selain itu, MBM akan sentiasa memantau penglibatan pelajar serta terlibat secara penuh membimbing pelajar berkenaan dari segi pembangunan insaniah termasuk mengaktifkan mereka dengan aktiviti kesukarelaan dan jatidiri. Selain itu, MBM dengan komitmen Rakan Strategik 1B1K-MBM sentiasa menjelajah ke seluruh negara dalam menganjurkan pameran pendidikan dan kemahiran serta taklimat peluang kerjaya berkemahiran di masa hadapan.
Kesempatan ini MBM ingin menyeru kepada ibubapa dan bakal pelajar agar lebih bermaklumat dan berhati-hati dengan iklan yang ditawarkan. Bagi Program 1B1K-MBM, maklumatnya boleh diperolehi seperti berikut:
Alamat Operasi:
Sekretariat 1B1K-MBM
Majlis Belia Malaysia
Wisma MBM, No. 1, Jalan Tasik Permaisuri 2
Bandar Tun Razak
Cheras, Kuala Lumpur
Telefon Pejabat: 03-9173 2761 / 2763
Telefon Hotline: 013-7733676 / 013-7769476 / 019-7739476
Facebook: www.facebook.com/1belia1kemahiran
Website: www.1b1k.net dan www.belia.org.my
(Nota: Selain nombor telefon hotline di atas, ianya pasti bukan dari MBM)
MBM juga ingin menasihati mana-mana Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang melantik agen pengambilan pelajar agar memantau gerakan mereka dari segi promosi dan kaedah pengambilan. ILKS perlu bertanggungjawab terhadap salahlaku dan perbuatan tidak beretika ejen yang dilantik, bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Sekian terima kasih.
MOHAMMAD RIZAN HASSAN
KETUA PENERANGAN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Tarikh : 21 Mac 2018
Telefon : (013) 7733676