KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) MENOLAK SEKERAS-KERASNYA PENGUMUMAN BAITULMAQDIS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL
Majlis Belia Malaysia (MBM) menolak keras sebarang tindakan menimbulkan ketegangan dalam mencari perdamaian konflik Al-Aqsa, Palestin.
Pengumuman Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump menunjukkan sikap sebenar Amerika sebagai dalang di sebalik konflik berlarutan ini.
Pengisytiharan ini jelas bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa dan segala usaha pihak antarabangsa dalam mencari perdamaian dan penyelesaian konflik ini.
Pengumuman beliau bukan sahaja merumitkan proses perdamaian antara Palestin dan Israel malah akan mencetuskan ketegangan di negara Rantau Arab juga negara-negara Islam.
MBM menggesa agar pihak yang berautoriti seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU) agar mengenakan tindakan diplomatik dalam mendesak Amerika Syarikat menarik balik pengisytiharan ini kerana Baitulmaqdis bukanlah barang dagangan oleh mana-mana pihak demi kepentingan mereka.
MBM berpendapat bahawa pemindahan Kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis adalah suatu tindakan provokasi kerana secara jelas menaikkan sengketa terhadap masyarakat Palestin.
Sehubungan itu, MBM mewakili seluruh badan gabungan belia di Malaysia menolak keras pengisytiharan ini. MBM akan bekerjasama dengan NGO yang berkaitan dalam menggerakkan Kempen “Selamatkan Al-Quds”. MBM menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya belia dalam menentang keras pengisytiharan ini.
MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 8 Disember 2017
Emel : mbm@belia.org.my