KENYATAAN AKHBAR
MBM MENGUTUK KERAS TINDAKAN ISRAEL TAWAN
KAPAL BANTUAN KEMANUSIAAN DI GAZA
Majlis Belia Malaysia (MBM) mengutuk keras tindakan tentera laut Israel menawan kapal flotila Al-Awda ‘Right to a Just Future for Palestine’ (JFP) yang membawa 116 kargo ubat-ubatan dalam misi kemanusiaan ke Gaza bersama 22 aktivis pelbagai latar belakang dari 16 negara termasuk Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh dari sukarelawan Humanitarian Care Malaysia (MyCare).
MBM menyifatkan tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap sebenar dan kerakusan Israel yang tidak pernah mengendahkan serta menghormati undang-undang antarabangsa.
Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007.
Sehubungan itu, MBM berharap kerajaan Malaysia menggunakan pengaruh dan platform antarabangsa bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam isu ini dengan membuat ketetapan terhadap Israel di peringkat Majlis Keselamatan PBB.
Kita tidak mahu kejadian tragis misi seumpama ini pada tahun 2010 berulang apabila sembilan aktivis Turki ditembak mati komando Israel yang menawan kapal Mavi Marmara.
Sebagai generasi muda yang cintakan keamanan dunia, MBM melihat kejadian seumpama ini tidak sepatutnya berlaku bahkan misi bantuan kemanusiaan tidak perlu disekat memandangkan ianya tidak menyumbang kepada kepentingan politik sesebuah negara.
MBM menyeru seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti dan mendoakan keselamatan Dr Mohd Afandi Salleh dan semua ahli misi ini agar selamat sampai ke Gaza bagi memberi bantuan bekalan ubat-ubatan kepada penduduk Palestin.
Sekian, terima kasih.
AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 30 Julai 2018
Tel : (013) 373 4934
Emel : mbmsua@gmail.com