MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kembara Jejak Patriotik Wira 69

Seramai 100 orang peserta termasuk lapan orang bekas komando VAT 69 kini sedang menyahut cabaran dalam usaha mengesan sejarah peperangan dengan komunis di Kelantan dan Perak yang bermula pada 27hb Ogos 2013.

Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd Zaidi Aziz berkata konvoi ini diberi nama Jejak Patriotik Wira 69 adalah usaha mengenang kembali  peristiwa pahit yang dilalui bekas komando VAT 69 bertempur dengan komunis pada era darurat tahun 1970an.

Katanya yang juga ketua program, peserta yang bukan dari kalangan anggota tentera akan dapat melihat kesan tinggalan peperangan yang kini dalam kenangan bekas komando terbabt.

“Jejak Patriotik ini untuk melihat semula sejarah peperangan membabitkan bekas komando yang pernah berdepan masa darurat dan menjejaki keas atau bukti bersejarah di setiap laluan penempatan orang asli di Kelantan dan Perak”, katanya.

Konvoi selama empat hari ini akan menjelajah ke tiga lokasi utama di pedalaman Gua Musang, Jeli dan Ipoh Perak.

Program ini membabitkan 27 buah kenderaan pacuan empat roda melibatkan Pos Tohai, Pos Gob, Kampung Bering di Gua Musang, Kampung Air Banum di Jeli manakala Pos Kemar dan Pos Legap di Perak.

Tambah Sdr. Zaidi, program ini turut mengcungkil kembali kegemilangan bekas perajurit yang sudah berjasa dan sama-sama menghayati pengorbanan mereka demi menyelamatkan tanah air.

“Selain itu, diharapkan program ini juga mampu menjadi medium menyemai semangat patriotik kepada  generasi baru yang selesa mewarisi kemerdekaan negara,” katanya.

Menurutnya, konvoi ini akan menjelajah ke setiap medan pertempuran sebelum menyambut ambang merdeka di Ipoh Perak.

Konvoi ini akan meneruskan perjalanan ke Pos Kemar di Sungai Siput Perak sebelum menyambut ambang merdeka di Ipoh bersama Menteri Besar Perak.

Jejak Patriotik Wira 69 ini telah dilancarkan oleh Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sup. Saiful Bahri Abdullah di hadapan IPD Gua Musang bersama Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, Puan Rohani Abu Hassan serta Sdr. Mohd Zaidi Aziz.

Program julung kali ini adalah anjuran bersama Majlis Belia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kelab Permotoran Kilo Lima Bravo, Majlis Belia Kelantan, Majlis Belia Perak dan Persatuan Bekas Komando VAT69. Program ini mendapat sokongan penuh dari RTM yang menjadi media rasmi program.

Peserta konvoi adalah terdiri dari ahli persatuan belia, sukarelawan belia, anggota Polis, Bomba, JAKOA, JPAM dan MAIK.

Konvoi kini dalam perjalanan ke Pos Kemar dan dijangka tiba di Ipoh pada esok (Jumaat).

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »