MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kembara Jejak Patriotik Wira 69 –Merdeka 2013

Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan satu program kembara bermotor pacuan empat roda (4×4), yang diberi nama Kembara Jejak Patriotik Wira 69 – Merdeka 2013, berkolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan yang telah dikendalikan oleh Kelab Sukan Bermotor Kilo Lima Bravo (KLMBC), bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 56. Program ini telah dijalankan pada 26hb– 31hb Ogos 2013. Program ini telah melibatkan lebih dari 10 agensi seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Pasukan Komando VAT 69 dan Persatuan Bekas Komando VAT 69, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perhutanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pihak Berkuasa Tempatan Jajahan Gua Musang, Gerik dan lain-lain. Peserta program kembara ini adalah dari kalangan persatuan belia gabungan MBM serta wakil dari setiap agensi yang terlibat. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 100 orang. Objektif utama program ini adalah untuk mengcungkil kembali kegemilangan para perajurit Komando VAT 69 yang telah berjuang menentang pengganas komunis di samping memberi pendedahan kepada semua rakyat Malaysia mengenai keperitan para pejuang di waktu darurat demi mempertahankan kedaulatan negara di samping pendedahan berkaitan medium komunikasi yang digunakan ketika itu.

Para peserta telah dibawa menyusuri jalan dan Kampung Orang Asli yang terdapat di daerah Gua Musang dan Gerik, di mana pernah menjadi tempat persinggahan, kem sementara, tempat latihan dan sebagainya oleh bekas para pejuang Komando VAT 69 ketika zaman Komunis dahulu. Di samping itu juga para peserta juga dapat melihat peninggalan sejarah seperti tapak kem latihan, bangkai kenderaan yang digunakan seperti kapal terbang, batu asas penubuhan kem, helipad dan sebagainya. Para peserta juga turut berpeluang berjumpa dan mendengar sendiri penceritaan pengalaman yang diceritakan sendiri oleh bekas komandor VAT 69 yang menyertai program kembara ini. Di samping itu juga dapat bertemu sendiri dengan Orang Asli yang pernah menyertai pasukan keselamatan pada zaman Komunis serta yang pernah menyertai Komunis.

Program kembara ini telah bermula pergerakannya di Gua Musang. Acara perlepasannya telah diadakan di IPD Gua Musang di mana telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Gua Musang , YBhg. Supt Saiful Bahri Abdullah, Setiausaha Agung MBM, Saudara Zaidi Aziz, dan Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, Puan Rohani Abu Hassan.

Kembara ini berlangsung melalui dua peringkat di mana melibatkan perjalanan offroad dan onroad. Trek kembara konvoi yang melibatkan offroad bermula dari Gua Musang, Kelantan menuju ke kawasan pedalaman Hulu Kelantan. Sepanjang perjalanan ini, kembara telah melalui penempatan masyarakat Orang Asli seperti Kg. Kuala Betis, Pos Tohoi, Pos Gob, Pos Simpul, Pos Bering dan keluar di Pos Meranto dan masuk semula ke Air Banum Jeli. Perjalanan dari Pos Meranto ke Air Banum melibatkan perjalanan onroad. Perjalanan kembara ini telah mengambil masa dua hari di mana para konvoi telah bermalam di Pos Gob. Di Pos Gob, para kembara berkesempatan melihat sendiri bekas tapak kem dan batu asas di mana tertera tarikh pembinaan kem latihan komando VAT 69. Di Pos Gob, para kembara turut mengadakan latihan komunikasi HF dan Morse Code.

Keesokkan harinya, kembara bergerak keluar dan berhenti rehat di Pos Bering. Pos Bering adalah sebuah perkampungan Orang Asli yang masih mengamalkan kehidupan seperti nenek moyang mereka seperti, binaan rumah mereka diperbuat dari buluh, tidak menganut sebarang agama, bekerja kampong dan sebagainya. Di Pos Bering juga, para peserta telah disajikan juadah ubi kayu bakar. Di sini para peserta dapat merasa sendiri bagaimana kehidupan pada masa dahulu di mana sumber makanan berasaskan ubi kayu. Setelah berhenti rehat kira-kira satu jam di Pos Bering, kembara bergerak keluar menyambung perjalanan ke destinasi berikut iaitu Air Banum, Jeli. Kembara konvoi melalui semula trek offroad bermula dari Air Banum, Jeli masuk ke kawasan pedalaman hutan Daerah Grik iaitu ke Fort Kemar dan keluar ke Pos Legap tetapi kembara konvoi menghadapi masalah dalam meneruskan perjalanan di mana terdapat trek yang mengalami tanah runtuh. Peserta kembara terpaksa bermalam di kawasan Sungai Tiang. Bagi merealisasikan objektif program, koordinator program berusaha untuk mencari jalan penyelesaian supaya sampai juga ke Fort Kemar.

Fort Kemar adalah kawasan di mana tersimpannya banyak peninggalan sejarah yang berkaitan seperti batu asas kem, bangkai pesawat, kesan tapak kem, batu yang tertulis nama para pejuang awal ketika zaman Komunis dan sebagainya. Beberapa orang peserta telah dipilih dalam lingkungan 40 orang untuk ke destinasi (Fort Kemar). Inisiatif yang digunakan adalah dengan menggunakan jalan air iaitu dengan menaiki bot melalui jeti Tasik Banding. Perjalanan air mengambil masa 2 jam untuk sampai ke destinasi (Fort Kemar). Setelah selesai sesi di Fort Kemar, kembara telah melalui semula trek onroad bermula dari Grik hingga ke Ipoh.

Penamat Kembara Jejak Patriotik Merdeka Komando VAT 69 – Medeka 56, adalah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak. Konvoi kembara telah tiba ke destinasi pada malam 30 Ogos 2013. Kembara telah disambut meriah oleh Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Saudara Hasnul Fairuz dan exco belia lain. Simboliknya, penamat telah dilakukan bersempena tarikh keramat Hari Kemerdekaan Malaysia, 31 Ogos 2013. Majlis penamat ini telah disempurnakan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Saudara Mohamed Maliki bersama Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia, Saudara Khairul Anwar El Syazalli Musa. Kemuncak acara adalah menunggu dan mengira detik ambang merdeka ke 56 bersama Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir di Dataran Stadium Tertutup Indera Mulia Ipoh. Acara diakhiri dengan acara pemberian cenderamata di mana setiap bekas Komandor VAT 69 yang menyertai kembara ini telah diberi cenderamata penghargaan di atas jasa mereka.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »