TUMPAT 26 Feb – Pengundi dan pemilih dalam parlimen ini yang telah berdaftar di dalam sistem e-PBM diminta mengemas kini maklumat masing-masing bagi menghadapi pilihan raya Parlimen Belia Malaysia (PBM) yang dijadual berlangsung bulan depan.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat, Wan Abdul Rahman Wan Ismail berkata, pengemaskinian perlu dilakukan bagi memastikan proses pencalonan individu yang akan bertanding serta pengundian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, PBM akan bersidang pada April 2014 dan pendaftaran untuk menjadi pengundi serta calon Ahli Parlimen Belia Malaysia kini dibuka.
“PBM bermatlamat untuk memberi peluang kepada golongan belia tempatan menyuarakan pendapat di samping melatih dan melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berkaliber.
“PBM juga adalah pentas utama bagi anak muda Malaysia tampil bersama idea-idea untuk meneruskan agenda pembangunan negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Wan Abdul Rahman dalam pada itu berkata, PBM merupakan training ground terbaik untuk membentuk bakal pemimpin yang diberi amanah untuk bersuara demi kepentingan generasi akan datang.
Tambah beliau, usul-usul yang diluluskan dalam persidangan PBM kelak akan dibawa untuk perhatian Jemaah Menteri sebelum tindakan susulan dilaksanakan oleh Kementerian Belia Dan Sukan.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai pilihan raya PBM, sila hubungi Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat di talian 09-7190291 atau menerusi laman web www.parlimenbelia.gov.my .