MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kelulusan RUU Larangan Lompat Parti ruang proses pemulihan sistem demokrasi negara

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti yang diluluskan melebihi suara dua pertiga ahli Dewan Rakyat hari ini.

MBM menyifatkan RUU kali ini memberi ruang kepada proses pemulihan demokrasi Malaysia di samping mampu menjadi mekanisme meredakan suhu politik tanah air.

MBM menganggap lulusnya enam perkara dalam Pindaan Perlembagaan Larangan Ahli Parlimen Melompat Parti adalah kemenangan demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia. Hal yang demikian diharapkan dapat melindungi suara rakyat sebagai asas kepada negara demokrasi.

MBM berpandangan gejala lompat parti yang berlaku berleluasa sebelum ini adalah satu kesalahan moral. Kelulusan Pindaan Perlembagaan secara tidak langsung telah mengabsahkan tindakan melompat parti sebagai satu perbuatan yang bercanggah dengan lunas Perlembagaan.

Kelulusan pindaan Perlembagaan ini juga menzahirkan iltizam politik YAB Perdana Menteri ke arah langkah penambahbaikan sistem pentadbiran dan politik Malaysia sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.

Ini boleh dilihat melalui rundingan dan muafakat blok Kerajaan dan Pembangkang dalam menyiapkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Menimbang RUU Larangan Melompat Parti.

MBM akan terus menyokong seluruh usaha ke arah transformasi politik dan pentadbiran yang dikemukakan melalui MoU Kerajaan dan Pakatan Harapan sebagai satu ikhtiar mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABD HAMID

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 28 Julai 2022

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »