SHAH ALAM 5 Feb. – Bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia khususnya di negeri ini, Majlis Belia Negeri Selangor (MBNS) akan menubuhkan Kelab Usahawan Selangor (KUS).
Exco Pembangunan Ekonomi, Usahawan dan Koperasi MBNS, Datuk Mohamad Zaini Md. Taha berkata, kelab tersebut akan menjadi pusat sehenti bagi golongan belia mendapatkan maklumat berhubung bantuan dana dan kursus yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.
Menurutnya, dengan kewujudan kelab sedemikian, mereka yang berusia bawah 40 tahun akan lebih yakin untuk menempuh bidang keusahawanan menerusi bantuan agensi-agensi terbabit.
“Kita tahu anak-anak muda kita takut untuk memulakan perniagaan kerana kekurangan maklumat dan bantuan dana, justeru KUS akan membantu mereka memulakan langkah membina kerjaya sebagai usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi taklimat dana kepada kira-kira 300 usahawan muda di sini hari ini.
Mohamad Zaini memberitahu, KUS akan beroperasi secara rasmi dalam tempoh dua bulan lagi dan bakal menempatkan agensi-agensi seperti SME Bank, Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
KUS akan ditempatkan di Tingkat 5, Bangunan UMNO Selangor di sini.
© Utusan Melayu (M) Bhd