TANJUNG MALIM,25 MAC 2012- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Universiti Pendidikan Sultan Idris (GPMS UPSI) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan GPMS Negeri Perak, telah menganjurkan Kejohanan Sukan GPMS UPSI yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Mac 2012. Kejohanan yang mengadakan perlawanan futsal yang julung kali dianjurkan oleh GPMS UPSI ini terbuka kepada semua Mahasiswa UPSI ,bertempat di Gelanggang Kampus Sultan Abdul Jalil, dan Gelanggang Kolej Za’ba UPSI telah disertai oleh 24 buah pasukan futsal. Perlawanan yang diadakan secara liga ini, menawarkan hadiah paling lumayan antara yang pernah dianjurkan setakat ini, iaitu sebanyak RM1000.00 kepada pemenang tempat pertama. Sambutan yang diterima oleh pihak GPMS UPSI sangat memberangsangkan dan merupakan permulaan yang baik terutamanya bagi memperkenalkan GPMS UPSI yang baru ditubuhkan semula pada tahun lalu. “ Kejohanan ini sangat bagus kerana dapat memperkenalkan GPMS UPSI kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UPSI, seterusnya mewujudkan mahasiswa yang mengamalkan gaya hidup sihat. Kegiatan seperti ini bertepatan dengan sedar dalam GPMS iaitu sedar atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar -pelajar melayu,” kata Pengarah Program Kejohanan Sukan GPMS UPSI , yang juga merupakan Yang Di Pertua GPMS UPSI, Saudara Johari Johar Bin Mod Yusoff.
Sungguhpun hujan lebat berlarutan hingga lewat petang, majlis penutup Kejohanan tersebut tetap dilaksanakan dengan jayanya melalui penyampaian hadiah berupa wang tunai kepada kepada setiap pemenang. Johan dan Naib johan disandang oleh Kaizer FC dan Function FC, di mana masing-masing membawa Wang tunai sebanyak RM1000.00 dan RM 700.00. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Patella FC dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500.00. “Program yang dianjurkan ini merupakan program terbaik dan berharap agar dapat diteruskan lagi pada masa akan datang”, kata Encik Faizi Bin Othman, wakil Timbalan Naib Canselor (HEPA), Turut hadir pada Majlis penutup tersebut, Encik Mohd Zaidi Bin Aziz, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia(MBM), Encik Hasnul Fairuz Bin Hushin Amri, Pengerusi GPMS Negeri Perak dan Encik Ezaruddin Bin Abdul Rahman, Naib Presiden 2 GPMS Kebangsaan.