Dilema di setiap negara pada musim wabak COVID-19 khususnya negara pengimport makanan yang boleh dilihat pada hari adalah untuk memastikan bekalan makanan kepada rakyat sentiasa mencukupi. Kesukaran ini mula menjadi masalah besar apabila berlakunya pembelian panik sekaligus meningkatkan harga produk makanan serta kurangnya bekalan makanan dari negara pengeksport yang rata-ratanya terkesan dengan wabak ini. Dalam tempoh wabak ini kita boleh lihat semua negara menjaga hasil bumi masing-masing untuk kegunaan rakyat mereka sahaja dan tidak dieksport keluar contohnya Thailand tidak mengekspot berasnya keluar kerana mereka melihat beras yang ada hanya cukup untuk rakyatnya sahaja dalam tempoh COVID ini. Dari sini dapat dilihat pentingnya “Food Security” pada sesebuah negara dikala mereka menghadapi bencana tidak terjangka seperti COVID 19.
Sebagai negara yang mana makanan ruji rakyat Malaysia adalah beras maka kerajaan perlu memastikan simpanan bekalan beras negara yang mencukupi serta terjamin untuk tempoh yang panjang. Langkah ini juga termasuklah membaik pulih sistem pengairan seperti tali air dan rumah-rumah pam dan kalau boleh kerajaan dapat membina empangan-empangan baru bagi memastikan sumber bekalan air yang mencukupi bagi aktiviti pertanian sepanjang tahun. Kerajaan juga perlu memastikan sayur-sayuran serta sumber daging negara mencukupi agar rakyat mendapat sumber makanan ini dengan harga yang berpatutan.
Perancangan serius perlu digerakkan bersama melibatkan pelbagai pihak dengan lebih serius supaya ianya berjaya dan berterusan. Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap penglibatan serius semua pihak berkepentingan perlu diusahakan antaranya Pertubuhan Peladang, FELDA, RISDA serta pelbagai agensi kerajaan yang berhubung rapat dengan petani serta pengusaha pertanian. Sumber tanah dan pekebun di agensi yang disebutkan di mana mereka telah lama bergelumang dalam industri sumber makanan ini perlu diberi nafas baru. FELDA antara contoh yang boleh dijadikan ladang ternakan negara kerana mempunyai keluasan tanah yang cukup luas perlu dibangunkan segera dengan inisiatif baru dan tidak mengulangi kesilapan Pusat Fidlot Nasional. Mungkin kita tidak akan mampu menandingi negara Brazil ataupun India sebagai pengeksport sumber daging dunia akan tetapi kita mampu sekurang-kurangnya mengurangkan import daging untuk jangka masa panjang.
Belia dan Masyarakat perlu melihat dan diberikan pendedahan meluas mengenai peluang sektor pertanian khususnya makanan asasi. Dalam pasca COVID-19 nanti, MBM juga mencadangkan supaya dibuat secara meluas Kempen “Dapur Hijau” / “Satu Keluarga Satu Kebun”/ “Satu Keluarga Satu Batas” / Satu Rumah Satu Tanaman / “Kita Jaga Kita” dengan lebih serius dan tidak bermusim seperti sekarang di mana matlamat utamanya adalah mereka menanam tanaman asas untuk kegunaan mereka sendiri sekaligus menjimatkan belanja dapur setiap keluarga. Hasil tanaman mereka mungkin juga boleh digunakan konsep sistem perniagaan seperti zaman dahulu iaitu “Sistem Barter” dimana sistem Barter ini menjadi satu bentuk perniagaan yang paling awal wujud di dunia.
Pembangunan tanah terbiar khususnya tanah yang melibatkan agensi kerajaan yang tidak digunakan dalam masa terdekat perlu digerakkan dalam masa terdekat sebagai projek pertanian berkelompok contohnya boleh diusahakan sebagai kebun untuk pengeluaran sayur-sayuran di mana belia dilibatkan secara serius dalam projek ini. Kemudahan teknologi pertanian yang ada pada hari ini perlu dimanfaatkan oleh anak muda supaya masa depan negara terbela dan terjamin dan memenuhi konsep fardhu kifayah.
Pada 2018 sahaja Malaysia telah mengimport RM 50.8 bilion sumber makanan dari luar negara di mana jika sumber kewangan sebesar itu berputar di dalam negara ianya memberi impak ekonomi yang sangat besar serta memberi peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda. Kementerian Pertanian perlu menggunakan sumber tenaga belia yang ada pada hari ini agar suatu hari nanti Malaysia mungkin hanya mengimport sumber makananan yang tidak mampu negara kita usahakan sahaja.
ABDUL HAFEEZ BIN ABDULLAH
PENGERUSI BIRO PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
MERANGKAP;
EXCO MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh: 4 Mei 2020