KUALA LUMPUR 8 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin keamanan dan kestabilan akan dicapai di rantau Asia Tenggara melalui kerangka ASEAN menjelang 2020.
Timbalan Perdana Menteri berkata, situasi itu terhasil apabila keharmonian wujud dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan segala punca-punca konflik diselesaikan.
Menurut beliau, usaha itu boleh dilakukan dengan sikap menghormati serta mematuhi undang-undang serta melalui pengukuhan daya ketahanan nasional dan serantau.
“Kejayaan ASEAN sebagai sebuah komuniti bergantung sepenuhnya kepada usaha berterusan untuk memperluaskan proses integrasi dan merapatkan jurang pembangunan di dalam serta antara negara-negara anggota.
“Selain itu, keupayaan ASEAN dalam menangani isu-isu kepentingan bersama yang dihadapi kini dan pada masa akan datang secara pantas perlu dipertingkatkan,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Makanan dan Kebudayaan ASEAN sempena Hari ASEAN 2014 serta Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) 2014 di Taman Pudu Ulu di sini malam ini.
Yang turut hadir Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia, Khairul Anwar El Syazalli serta para duta besar dan pesuruhjaya tinggi negara-negara ASEAN.
Pada majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan `Your Action Project’.
Muhyiddin menambah, rakyat di negara-negara anggota ASEAN juga perlu turut memainkan peranan yang sama dengan pemimpin-pemimpin mereka dalam memastikan rantau ini kekal berdaya maju dan kuat pada dekad-dekad akan datang.
Beliau turut menyatakan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan untuk melaksanakan gagasan ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ dengan matlamat menjadikan rantau ini tempat tinggal yang selesa untuk semua lapisan penduduk.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Kolokium Nasional yang bertemakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 menyatakan gagasan ini akan menjadi instrumen lebih berkesan untuk merealisasikan impian penduduk di rantau ASEAN,” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, penduduk di rantau ASEAN ingin melihat tadbir urus kerajaan yang lebih efektif dan responsif, standard kehidupan lebih baik, pengukuhan perlindungan persekitaran, pengupayaan golongan wanita dan menawarkan peluang lebih baik untuk semua masyarakat.
Berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan pesawat MH370 yang berakhir di Lautan Hindi, Muhyiddin melahirkan penghargaan di atas sokongan yang diberikan negara-negara anggota ASEAN serta masyarakat dunia terhadap Malaysia dalam menangani dua tragedi itu.
“Negara menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan sederhana tanpa melupakan keluarga-keluarga mangsa musibah. Di sebalik tragedi yang melanda, sama ada kita sedar atau tidak, ia mengajar rakyat bersatu padu dan berdiri teguh di belakang kepemimpinan negara.
“Ternyata, ini memberi lebih semangat kepada pihak kerajaan dalam menangani isu tersebut dan berhadapan dengan cabaran amat getir ini,” katanya.
Beliau juga meminta MBM memainkan peranan lebih besar melalui jaringan badan-badan belia serantau yang diketuai Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) dengan memberi fokus kepada isu kepimpinan dan kesukarelaan.
“Dalam hal ini, saya amat menggalakkan program-program dan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan dalam kalangan golongan muda di negara-negara ASEAN,” jelasnya.
Muhyiddin berkata, MBM juga perlu memainkan peranan secara agresif bagi mempromosikan Malaysia di peringkat serantau sempena Sidang Kemuncak ASEAN tahun hadapan.
Beliau turut berpandangan, penganjuran Pesta Makanan dan Kebudayaan ASEAN merupakan inisiatif yang sangat baik dalam menghayati gagasan ASEAN melalui medium makanan tradisi serta kebudayaan negara masing-masing.
© Utusan Melayu (M) Bhd